Kesihatan

IJN perkenalkan rawatan terbaru yang berteknologi tinggi

INSTITUT Jantung Negara (IJN) telah mencapai satu lagi pencapaian penting dalam penjagaan kesihatan jantung melalui pembukaan pusat rehabilitasi baharu yang dilengkapi dengan teknologi senaman pneumatik terkini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, IJN memaklumkan bahawa kemudahan canggih ini menggabungkan inovasi dari Jerman, Finland, dan Belanda, memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

“Rehabilitasi jantung adalah program yang direka untuk membantu pesakit pulih dari pelbagai penyakit berkaitan jantung seperti serangan jantung dan pembedahan, serta mengurangkan risiko serangan jantung pada masa hadapan.

“Program ini mempromosikan pendekatan holistik dalam penyembuhan dengan menggabungkan latihan senaman, nasihat pemakanan, dan amalan gaya hidup sihat untuk kesihatan jantung,” kata kenyataan itu.

Dengan kerjasama pakar rehabilitasi dari Finland dan pengeluar peralatan senaman HUR, pusat ini menyediakan peralatan senaman pneumatik yang termaju.

Berbeza dengan sistem tradisional yang menggunakan beban berat, sistem pneumatik ini menggunakan tekanan udara untuk menghasilkan rintangan, memberikan pengalaman senaman yang lebih lancar dan terkawal.

“Teknologi ini membantu mengurangkan ketegangan pada sendi dan mengurangkan risiko kecederaan, menjadikan sesi senaman lebih efektif,” tambah kenyataan itu.

Mesin HUR yang dilengkapi dengan teknologi SmartTouch membolehkan input program latihan dan sasaran direkodkan. Sistem ini juga boleh diselaraskan secara automatik untuk ketinggian tempat duduk, rintangan, dan ulangan serta merekodkan setiap kemajuan pergerakan.

Pusat rehabilitasi ini juga dilengkapi dengan sistem perisian Lode Cardiac Rehab Manager yang mampu merekodkan data seperti elektrokardiogram (ECG), kadar degupan, dan kelajuan jantung sehingga 16 pesakit dalam satu-satu masa.

Selain itu, pusat ini mempunyai pasukan perawat profesional yang terdiri daripada pakar-pakar seperti kardiologi, fisioterapi, diet, dan kesihatan mental yang dapat membantu dalam proses penyembuhan secara fizikal dan emosi.

Kredit – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button