Bomba cipta robot SG1 padam kebakaran
MENGELAK risiko kecederaan selain memastikan operasi mengawal kebakaran dan penyelamatan berjalan lancar, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai mengambil inisiatif mencipta robot dikenali sebagai “Serai Gorgon 1” (SG1).
Ketua BBP Bagan Serai, Ahmad Noor Syamsi Zainoldin berkata ,penciptaan SG1 bermula Julai tahun lalu dan mengambil masa dua bulan untuk disiapkan melalui idea serta penggabungan kemahiran enam anggota balai berkenaan.
Beliau berkata, kos pembikinan robot seberat 71kg menelan belanja sekitar RM11,000 dan 90% material digunakan adalah daripada besi dan barangan elektrik terpakai.
“Idea untuk penciptaan robot ini pada asalnya tercetus setelah memikirkan risiko kecederaan dan kematian yang sering dihadapi oleh anggota bomba dalam pelbagai operasi terutama membabitkan kes-kes kebakaran dan penyelamatan.
“Bagi penghasilan robot itu antara material yang digunakan adalah seperti besi jenis persegi berongga dengan ketebalan 1.6mm, gegancu motosikal, pemercik air, motor tingkap kuasa dan sebagainya,” katanya.
Syamsi berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) serta Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ogos lalu bagi menilai keupayaan serta ketahanan SG1.
“Kerjasama itu memfokuskan kepada sesi ujian bagi menilai tahap keupayaan dan ketahanan SG1 khususnya dalam membantu operasi anggota bomba.
“Hasil dapatan daripada ujian yang dilakukan, SG1 mampu bertahan sehingga suhu mencecah 300 darjah celsius manakala melalui kerja-kerja penyelamatan pula robot ini berupaya mengangkat beban maksimum 250kg,” katanya.
Mengulas lanjut berkaitan kelebihan dimiliki SG1, katanya robot tersebut turut dilengkapi alat kawalan jauh, sistem kamera, pengesan gas, muncung semburan air dan water curtain.
“Alat kawalan jauh fungsinya adalah untuk mengawal pergerakan SG1 dalam melaksanakan operasi. Sistem kamera membekalkan isyarat secara visual berkenaan risiko yang terdapat di kawasan sekeliling.
“Pengesan gas berfungsi mengesan gas berbahaya yang terdapat di lokasi, muncung semburan air berperanan dalam mengawal pergerakan air serta jenis semburan bersesuaian yang perlu dilakukan dan water curtain pula berfungsi bagi melindungi SG1 daripada bahang panas melampau,” katanya.
Selain itu, anak jati kelahiran Bagan Serai berusia 42 tahun itu menjelaskan robot tersebut turut berperanan dalam menembusi ruang sempit yang sukar ditembusi anggota bomba dalam mana-mana operasi kebakaran dan penyelamatan.
“Bagi kami, robot ini adalah benteng hadapan bagi melancarkan operasi dan mengurangkan risiko atau ancaman keselamatan terhadap anggota,” katanya.
Selain itu, katanya SG1 juga pernah digunakan dalam dua operasi khusus melibatkan pembakaran terbuka yang berlaku di kawasan sekitar pada Ogos dan Oktober lalu.
Bercerita mengenai pengiktirafan terhadap SG1, beliau berkata penghasilan robot itu menobatkan Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai selaku juara bagi Pertandingan Anugerah Minggu Inovasi Negeri Perak 2023 sempena Sambutan Minggu Inovasi Tahun 2023 JBPM yang berlangsung 16 Nov lalu.
“Pengiktirafan ini amat bermakna buat kami dan akan dijadikan sebagai azimat serta pembakar semangat dalam meningkatkan lagi produktiviti SG1 bagi melancarkan operasi sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga anggota dalam sesuatu operasi,” katanya. – BERNAMA – SM