NasionalPendidikan
Universiti awam diarah tidak tolak kemasukan pelajar miskin, tidak mampu bayar yuran – Anwar
UNIVERSITI awam di negara ini diarahkan supaya tidak menolak kemasukan pelajar miskin atau tidak mampu membayar yuran.
Itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, arahan sedemikian, yang pertama kali dalam sejarah negara, adalah untuk memastikan para pelajar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
“Saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dan kementerian atau jabatan harus selesaikan.
“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah, tidak ada anak kita di mana sahaja, daripada kaum mana juga, yang miskin dan tidak mampu menolak tawaran ke universiti. Dia daftar dulu, kemudian dia lapor,” katanya.
Menuurt Anwar, beliau ada dimaklumkan terdapat pelajar dari Ampang dan Tambun telah menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.
Beliau turut berkata, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
BACA PAUTAN Lebih 17,000 pelajar universiti awam tak lanjut pengajian tahun lalu
BACA PAUTAN Selenggara kerangka besi propagasi karang sempena Sambutan Hari Alumni Universiti Awam 2023
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas, Anwar mengumumkan bermula Januari depan, yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 iaitu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500. – SM