Parlimen

Lebih 17,000 pelajar universiti awam tak lanjut pengajian tahun lalu

SERAMAI 17,613 pelajar universiti awam tidak meneruskan pengajian tahun lalu manakala 5,165 pelajar menangguhkan pengajian mereka tanpa mengemukakan alasan tertentu, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Bagi pelajar di universiti swasta, beliau berkata, seramai 20,577 pelajar menangguhkan pengajian mereka.

“Antara faktor menyumbang pelajar menangguhkan pengajian mereka kerana masalah kesihatan peribadi atau keluarga, masalah kewangan dan untuk mendapatkan kerja,” katanya menjawab soalan Salahuddin Ayub (PH-Pulai) di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Amanah itu bertanya, sama ada kementerian mempunyai data jumlah pelajar universiti awam dan swasta tidak melanjutkan atau menangguhkan pengajian disebabkan status sosioekonomi keluarga atau kesihatan mental mereka.

Noraini berkata, kementeriannya sudah mengambil langkah membantu pelajar berdepan masalah menerusi pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Antaranya, pihak universiti memberi keanjalan dalam menentukan kaedah PdPR, termasuk ujian dan penilaian.

“Sebagai tambahan, pihak kementerian juga menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar, termasuk kategori B40,” katanya.

Noraini berkata, unit kaunseling dan bimbingan di universiti awam juga menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada pelajar yang mengalami tekanan emosi atau mental.

“Ada hampir 150 kaunselor dan ahli psikologi bersedia membantu pelajar yang memerlukan khidmat berkenaan, yang diadakan secara fizikal di kampus, dalam talian (e-kaunseling) dan juga melalui talian hotline (tele-kaunseling),” katanya. – SM

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button