MAIPs, Yayasan Peneraju meterai kerjasama tajaan latihan kemahiran
MAJLIS Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera atau Yayasan Peneraju telah menandatangani dokumen perjanjian kerjasama bagi pelaksanaan program penajaan latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan kepada warga asnaf di Perlis.
Kerjasama berkenaan merupakan salah satu daripada inisiatif bersama antara MAIPs dan Yayasan Peneraju bagi membantu mempertingkatkan lagi bilangan tenaga kerja mahir dan separa mahir negara.
Perjanjian usaha sama berkenaan adalah lanjutan daripada penyerahan surat hasrat kerjasama yang telah dipanjangkan oleh MAIPs kepada Yayasan Peneraju sebelum ini.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dalam pelbagai bentuk dalam pembangunan pendidikan, latihan dan kemahiran ke arah pelaksanaan objektif dan program-program yang telah dirancang.
MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn. Bhd. akan mengemukakan calon-calon asnaf yang berkelayakan untuk mengikuti kursus-kursus lanjutan sedia ada anjuran Yayasan Peneraju.
Pihak MAIPs diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor, manakala Yayasan Peneraju pula diwakili oleh Dr. Amina Josetta Datuk Paduka Ahmad Kayani selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dalam majlis tersebut yang disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs di Masjid Al-Firdaus Padang Besar Selatan, Kuala Perlis.
Mohd Nazim berkata, MAIPs amat berharap dan berdoa agar kerjasama ini dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran individu yang diperlukan bagi membantu menaikkan taraf hidup golongan asnaf agar mereka mampu berdaya saing setelah tamat latihan melalui kursus-kursus yang dianjurkan.
Dalam majlis yang sama, Baginda turut berkenan menyampaikan bantuan MAIPs kepada 70 penerima dari kariah Padang Besar Selatan dan 70 penerima dari Kariah Masjid Al-Hussain Kuala Perlis.
Masing-masing menerima RM700. – SM