Lagi pegawai kanan Sanusi ditahan SPRM
YAN – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan seorang lagi pegawai kanannya ditahan anggota penguatkuasa bagi membantu siasatan.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya dan meminta agar kakitangan yang dipanggil hadir memberi keterangan yang diperlukan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan, beliau tidak mengetahui secara terperinci butiran lanjut penahanan tersebut.
“Saya pun tak tahu (sebab) bagi selesai siasatan tak apalah. Dia pun tak maklum apa, dia tak boleh maklumlah kot.
“Usaha-usaha itu semakin hari semakin rancaklah nampaknya,” katanya selepas menyerahkan Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi Daerah Yan di sini pada Isnin.
Sebelum ini, satu mesej tersebar menyatakan seorang pegawai kanan kepada Menteri Besar direman tiga hari di Mahkamah Sesyen Alor Setar setelah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ditanya lanjut sama ada kemungkinan penahanan tersebut mempunyai kaitan dengan tangkapan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah sebelum ini, Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan itu.
“Ya saya rasa betul. Saya rasa macam itu, pasal satu-satunya hasil daripada brainstorm Pakatan Harapan untuk merebahkan PN adalah isu unsur nadir bumi (REE) sebab itu dia pulun tak apalah, buatlah. Kita tak ada masalah apa.
“Saya relaks sahaja dan suruh semua siapa yang dipanggil bagi keterangan (untuk bekerjasama). Apa yang depa mahu, kita cerita. Kita tak ada apa nak dibimbangkan.
“Selama kita benar tiada apa yang perlu dikhuatirkan. Jangan takut, jangan gentar kita bukan bangsa penunduk,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, SPRM menahan reman seorang CEO MBI dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa disyaki dalam sektor perlombongan REE.
Beberapa hari kemudian, agensi itu menahan seorang lagi individu yang merupakan pembantu kepada pemilik syarikat yang menjadikan keseluruhan tangkapan kini seramai empat orang.
BACA JUGA:
Rasuah REE: CEO Perbadanan Menteri Besar, pengarah syarikat ditahan SPRM