Speaker Dewan Negara cadang wujudkan undang-undang pecat perdana menteri
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan penggubalan undang-undang yang membolehkan perdana menteri didakwa dan dipecat atas salah laku.
Wan Junaidi berkata ketika ini negara tidak mempunyai undang-undang yang membenarkan pendakwaan terhadap perdana menteri dan itu harus diperkenal.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, negara seperti United Kingdom (UK) mempunyai undang-undang berkenaan.
“Perkara itu (dakwaan salah laku) dilakukan di England pada tahun 1800-an dan terakhir, bekas perdana menteri, Tony Blair pernah didakwa pada 2004” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucaptama pada forum ‘Kestabilan Politik dalam Parlimen Tergantung’ di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Bayangan (Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi), Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Presiden Sunway Universiti, Prof Sibramdes Poppema.
Wan Junaidi turut mencadangkan supaya Parlimen memanggil kerajaan untuk membentang dan membahaskan kertas untuk memasuki atau menarik balik perjanjian dua hala atau sehala dengan mana-mana negara luar atau individu.
Katanya, sekiranya dibahas atau dibentangkan di Parlimen, orang ramai akan mengetahui mengenai perkara itu.
“Malah Parlimen perlu memanggil kerajaan bagi perkara membabitkan penyelesaian pertikaian seperti isu menarik balik (rayuan kes) Pulau Batu Putih pada 2018 yang dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu.
“Sekurang-kurangnya Ahli Parlimen tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana itu isu besar membabitkan negara,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata, pemisahan peranan pendakwa raya daripada peguam negara (AGC) tidak boleh dilakukan secara terasing kerana itu membabitkan beberapa faktor antaranya kos kepada kerajaan.
Katanya, cabaran terbesar dalam hal itu membabitkan elemen kos kerana untuk memisahkan peguam negara dan pendakwa raya, maka, pegawai-pegawai berkaitan juga perlu dipisahkan.
“Selain itu, pemisahan kedua-dua jawatan berkenaan akan turut membabitkan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Perkara 138 dan Seksyen 376 Akta Acara Jenayah.
“Pindaan bukan saja perlu dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan, malah, pindaan terhadap undang-undang lain yang berkaitan juga perlu dipertimbang,” katanya.