KemalanganNasional

Bapa, bayi 10 bulan maut kereta bertembung lori tangki

SEORANG bapa bersama anak lelakinya yang berusia 10 bulan, maut dalam kemalangan di KM145 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Kuantan, Pahang, awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 1.15 pagi itu, Azirul Azeem Mazri, peniaga berusia 30 tahun berasal dari Pasir Gudang, meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak.

Bayinya, Muhammad Adhwa Azirul Azeem yang turut cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Rompin.

Ketua Polis Rompin, DSP Azahari Mukhtar berkata, isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, seorang guru bagaimanapun terselamat dalam nahas tersebut.

“Pemandu lori tangki, Mohamad Fahmi Che Ali, 30, dari Kuala Terengganu, cedera ringan,” katanya.

Azahari  berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki minyak yang datang dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat pemandu kereta yang tersepit berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – SM

BACA Lori bertembung 11 kereta di persimpangan lampu isyarat

BACA Bas bertembung lori: 11 rentung, 8 parah

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button