Politik

Saya tidak akan minta maaf – Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca dengan lengkap kenyataannya berhubung dana judi yang didakwa melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan jika ia tidak mempunyai asas.

Dalam masa sama, beliau enggan membuat sebarang permohonan maaf seperti yang dituntut oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tetapi kalau dia (Muhyiddin) nak bawa terus (ke mahkamah), silakan.

“Saya tidak akan keluarkan kenyataan kalau saya tidak ada asas. (Adakah Datuk Seri akan minta maaf) Dengar balik jawapan saya,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, siasatan terhadap dakwaan dana tersebut masih lagi berjalan melibatkan pelbagai agensi.

“Ia ada banyak agensi dan siasatan bila dah ada bukti, baru lah disebarkan atau diambil tindakan mengikut (perundangan).

“(Agensi lain ambil tindakan?) Itu biar agensi yang jelaskan,” tambah Perdana Menteri.

Semalam, Muhyiddin memberitahu akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil langkah seterus terhadap kenyataan yang dibuat oleh Anwar, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi PN itu juga meminta agar Perdana Menteri membuat permohonan maaf, sebelum beliau mempertimbangkan untuk sebarang tindakan lanjut.

Pada Khamis, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan bertulis memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti yang didakwa.

Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan, bagaimanapun, agensi itu mendapati maklumat tersebut terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Begitupun, pada Jumaat, Azalina menegaskan siasatan dakwaan dana judi melibatkan PN, tidak dihentikan atau digugurkan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button