Politik

Annuar beri kebebasan untuk anak tentu hala tuju politik

Tan Sri Annuar Musa memberi ruang dan kebebasan kepada ahli keluarga termasuk anaknya untuk menentukan hala tuju politik masing-masing.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu mengulas lanjut situasi dihadapi beliau berbeza dengan nasib yang diterima oleh anaknya, Afiq Amani Annuar di dalam UMNO.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dia telah dipecat sebagai ahli manakala anaknya pula diberi mandat oleh akar umbi untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh.

“Anak saya… saya boleh arah sahaja. Namun saya tidak begitu, dia (Afiq) Ketua Pemuda UMNO yang dipilih oleh akar umbi dan diberi kebebasan untuk pikul tanggungjawab diberikan oleh ahli.

“Kedudukan dia tidak sama dengan saya. Saya kena buang (UMNO) dan isu itu tidak berbangkit, kalau tarik Afiq baru seorang menyertai UMNO. Keluarga saya ada antara 400 hingga 500 di Cawangan UMNO Cabang Tiga Haji Musa, kawan-kawan rapat ada beribu,” katanya semasa sidang akhbar di Kok Lanas di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan pemberita kenapa tidak menarik Afiq Amani menyertai Pas sebagaimana desakan yang dibuat oleh UMNO Kelantan.

Menurut beliau, prinsip merupakan perkara yang perlu ada dalam berpolitik dan tidak harus menunjukkan kesombongan dalam membuat kenyataan kerana ia melibatkan perkara serius.

Ujarnya, beliau memberikan ruang kebebasan buat Afiq untuk memilih haluan dalam dunia politik.

Beliau yang bakal menyertai Pas berkata, beliau turut menitipkan pesan kepada Afiq untuk terus membantu rakyat.

Annuar memberitahu, politik bukan medan untuk mencari kedudukan.

Sinar Harian pada 20 Mei lalu melaporkan, UMNO Kelantan mencabar Annuar mengajak anak lelakinya yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Ketereh menyertai Pas sebelum berkempen menarik orang lain menyertai parti itu.

Ketua Penerangan, Datuk Zawawi Othman berkata, Annuar akan dilabel gagal jika anak kandung sendiri tidak menyakini tindakan tersebut, apatah lagi orang lain.

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button