Ekonomi

Tony, Kamarudin setuju lepas jawatan dua bulan

Datuk kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes bersetuju lepas jawatan selama dua bulan seperti dinasihatkan Lembaga Pengarah AirAsia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad (AirAsia) dalam kenyataan hari ini berkata, ia bertujuan memberi kerjasama terhadap satu siasatan.

AirAsia dilaporkan terlibat dengan aktiviti penajaan terhadap Caterham F1 oleh Airbus secara tidak sah melibatkan jumlah lebih RM400 juta.

Memetik laporan portal The Star, Airbus SE (Airbus) dikatakan membuat penajaan tersebut selepas AirAsia bersetuju membeli 180 buah pesawat daripada syarikat tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut mereka, AirAsia tidak pernah dimaklumkan mengenai siasatan yang dijalankan pihak Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom.

Katanya, SFO dilapor menjalankan siasatan terhadap Airbus selama empat tahun.

Sehingga 31 Januari lalu, AirAsia tidak pernah dimaklumkan mengenai laporan siasatan tersebut sementara Airbus dikatakan bersetuju untuk membayar sejumlah denda.

“Caterham F1 adalah syarikat yang didakwa menerima tajaan secara salah daripada Airbus yang ketika itu mempromosikan AirAsia, AirAsia X, GE dan Airbus bersama Formula 1 (F1).

“Ketika itu, kami adalah pemegang saham Ceterham. Bagaimanapun syarikat itu tidak membuat keuntungan dan akhirnya dilupuskan dengan nilai 1 Pound Sterling (RM5.24) pada 2014,” katanya.

[BACA ARTIKEL] Tony Fernandes dan Kamarudin Meranum letak jawatan — Suara Merdeka

Sehubungan itu, Tony dan Kamarudin sekali lagi menafikan semua salah laku mereka sebagai pengarah dan eksekutif AirAsia berkaitan penajaan Airbus.

“Airbus juga bersetuju suatu kenyataan untuk membabitkan pegawai AirAsia.

“Ini jelas melanggar prinsip undang-undang dan akses kepada keadilan,” katanya.

Tambahnya, program penajaan itu hanyalah sekadar aktiviti penjenamaan, bukan bertujuan mencari keuntungan.

Mereka bagaimanapun mengalu-alukan siasatan daripada mana-mana pihak berkuasa dan bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi mendapatkan keadilan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengesahkan pihaknya sudahpun memulakan penyiasatan terhadap dakwaan SFO dan berhubung dengan pihak berkuasa UK. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button