Nasional

Pelajar harus raikan cawangan parti politik dalam universiti, julang demokrasi

INDIVIDU yang melanjutkan pelajaran ke universiti harus menjulang demokrasi sekiranya hasrat penubuhan cawangan parti politik dalam universiti menjadi satu realiti.

Lebih-lebih lagi sejak 15 Disember 2021, pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun telah pun diwartakan dan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ramai pelajar turun mengundi.

Melihat kepada trend itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ini kerana pelbagai pindaan telah dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, meliputi aspek kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya.

“Memang kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik di dalam atau luar kampus, termasuk mereka boleh menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.

“Jadi, semua itu sudah dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara seperti dicadangkan Yang Berhormat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) sama ada KPT akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan politik matang, selaras dengan reformasi pendidikan.

Sementara itu, menjawab soalan asal Muhammad Islahuddin berhubung pelantikan Naib Canselor universiti awam (UA) oleh menteri dan warga universiti tidak diberi autonomi untuk mengundi Naib Canselor mereka susulan keputusan kerajaan tidak memansuhkan AUKU pula, Mohamed Khaled berkata, amalan sedia ada diteruskan seperti biasa.

“Memandangkan kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU, maka amalan sedia ada lantikan Naib Canselor UA diteruskan seperti sebelumnya, iaitu pelantikan Naib Canselor sesebuah UA dilakukan oleh menteri dengan mengikut prosedur serta ketetapan akta diluluskan oleh Parlimen, iaitu AUKU 1971,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung kesediaan KPT mengadakan dialog berhubung AUKU, Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa sebarang kelemahan dalam akta terbabit, boleh dipertimbangkan untuk dibuat pindaan.

“Antara perkara yang kita sedang pertimbang untuk lakukan ialah meminda soal persatuan pelajar menguruskan sendiri akaun kewangannya. Itu dalam proses, dan insya-Allah akan kita cuba bawa dalam penggal Parlimen akan datang,” katanya.

(Visited 99 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button