Diari AG

Maaf, AG tak sengaja, jalan berlubang

24 Januari 2020:

BERDENTUM! Senyap. Ini kali pertama sejak jadi pemandu Grab AG rasa bersalah sangat.

Mood yang tadi ceria bertukar suram. Aduhhh..

Hati rasa berbelah-bahagi. Hilang senyum simpul yang selalu AG lemparkan kepada penumpang. Teruknya. Tapi benda dah jadi, apa lagi boleh buat. Kalaulah masa boleh diputar ke belakang, AG pasti akan lebih berhati-hati.

Memang AG mengaku salah. Tapi kejadian ini tak akan jadi kalau jalan raya sekitar ibu kota tak beralun, berlekuk-lekuk dan berlubang sana sini. Entah bila lah nak siap projek-projek ‘raksasa’ ini.

Related Articles

Benjol agaknya kepala mat saleh Australia ini. Senyap je tu. Marah kot. Kuat juga bunyinya tadi.

Mulut AG hanya mampu keluar perkataan ‘sorry’. Tak berani AG nak toleh belakang. Tapi AG curi-curi perhati juga ikut cermin pandang belakang.

Nama dia Brian. Umur dalam lingkungan 40-an. Berada di Malaysia atas urusan perniagaan. Sebelum kejadian malang tadi, sempat dia merungut terpaksa memanjangkan tempoh kerjanya kerana projek yang diurus tertangguh.

“Saya perlu jadualkan semula kerja-kerja di sini kerana pertukaran kerajaan,” katanya beriya-iya.

Disebabkan berbual tak ingat dunia, AG gagal mengelak lekuk yang agak dalam. Apa lagi melambung la mat saleh yang duduk di belakang.
Yang tragis, kepala dia terantuk kat bucu kereta.

Dah la masa nak naik kereta tadi AG tak bagi dia duduk depan. Seram AG kalau Brian ni duduk sebelah. Kereta AG bukan besar mana pun. Mujur dia tak kisah. AG kata di belakang lebih selesa. Tapi jangan lupa pakai tali pinggang. Dia senyum.

Senyum dia jadi masam lepas kepala terantuk.

Disebabkan kejadian itu, pemanduan AG jadi kelam-kabut sikit. Iye la, mana nak elak lubang, jalan beralun, bersimpang-siur, nak kesiankan si Brian lagi dan paling mempengaruhi situasi ialah bimbang alignment kereta lari bila terhentak tadi.

Akhirnya AG masuk laluan salah. Sudah. Patutnya boleh sampai ke destinasi dituju dalam masa tinggal 10 minit, bertambah jadi 20 minit.

Mencuka lagi muka si Brian. Agaknya malas dah nak layan AG, dia layan telefon pula. Entah apa yang dia khusyuk tengok. Tak berdetik langsung.

AG lagilah. Hasrat nak buka radio untuk menceriakan hati yang lara pun tak berani.

Apa pun AG bersyukur dapat hantar Brian dengan selamat.  ‘Kecederaan’ yang dialami tak ada lah serius mana. Terantuk sikit biasalah. AG dapat rasa Brian ni saja buat gitu sebab nak bermanja.

Ya lah duduk di rantau orang, keluarga jauh. Tapi AG buat-buat tak faham je. Yang penting AG nak cari rezeki yang halal. Mujur ada Grab. Tak apa lah bersusah sedikit layan kerenah penumpang.

Yang lagi penting ialah mujur AG dah ingatkan pakai tali pinggang keledar di belakang. Bayangkan kalau dia tak pakai tali pinggang keledar tadi, mahu besar benjol kat kepala tu!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button