Rencah HidupTravel

RIFFAA dari fesyen ke restoran dalam dusun di Changlun

DUSUN Riffaa, begitu kuat daya tarikannya. Pastinya ada “sesuatu” pada dusun yang terletak di Kampung Changkat Setul, Changlun, Kedah yang kini sedang tular.

Sekadar meneliti gambar dari media sosial masih belum cukup kecuali menjejakkan kaki sendiri ke tempat ini bagi melihat sendiri keistimewaannya.

Salah sebuah rumah kayu untuk disewa sebagai “inap harian” dan pengunjung berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Dusun Riffaa, Changlun.

Bagi yang pertama kali hendak masuk ke dusun, sebelum sampai janganlah “marah-marah” apabila terpaksa menempuh jalan tanah merah di mana sesekali dikejutkan dengan tayar kenderaan termasuk ke lubang-lubang kecil.

Cuma yang penting ikut saja arahan anak panah ke Dusun Riffaa dan sebaik tiba, penulis pun merasakan sebenarnya ia bukan dusun biasa-biasa.

Ini yang dinamakan tuah dari jenama pakaian wanita “Riffa” yang kini berkongsi nama sama untuk dusun yang telah diubahsuai menjadi restoran masakan autentik Thailand .

Lebih menarik pada kawasan dusun yang luas ini terdapat binaan rumah kayu yang boleh disewa sebagai untuk “rehat harian”.

Selain itu ada sudut-sudut OOTD untuk pengunjung merakam kenangan semasa berada di Dusun Riffaa.

Miang pla makanan autentik Thailand antara menu pilihan pengunjung di Dusun Riffaa.

Jelas pemiliknya, Mohd Ridzal Ramli, 42, asalnya dia mengusahakan dusun sebagai tempat inap dan “hiking”.

Katanya, kebetulan kawasan itu berdekatan dengan Air Terjun Perangin.

“Cuma dua bulan lalu apabila permintaan dari pelanggan yang berkaitan makanan akhirnya membuatkan saya dan isteri Wan Fatimah Megat Saad, 37 memilih untuk membuka restoran,” katanya ketika ditemui wartawan Suara Merdeka.

Jelas Ridzal, sekalipun restoran ini baharu dua bulan beroperasi, sambutannya memang di luar jangkaan.

Beliau berkata, dengan berkonsepkan famili maka kebanyakan pengunjung datang dengan ahli keluarga bagi mengambil kesempatan bercuti.

“Sambil makan-makan, anak-anak boleh mengisi masa melakukan aktiviti seperti mewarna yang disediakan pada hari cuti umum atau mandi sungai,” katanya.

Beliau berkata, harga makanan di sini juga sangat berpatutan di mana pelanggan boleh memilih secara “ala carte” mengikut kemampuan masing-masing.

Katanya, antara menu yang menjadi kegemaran pengunjung adalah “miang pla” dan daging bakar Danok.

Selain itu pengunjung juga boleh memilih pelbagai jenis makanan vendor yang menepati cita rasa masa kini.

Juga terdapat gerai jualan keropok lekor, lokching yang menjadi pilihan kanak-kanak.

Jika datang dari jauh atau ingin berehat sebentar sambil makan-makan kata Ridzal, mereka boleh menyewa rumah-rumah yang disediakan.

Beliau berkata, Dusun Riffaa ini yang dibuka setiap hari kecuali Isnin mulai pukul 11 pagi hingga 7 malam ini boleh masuk dan parkir secara percuma. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button