Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Noraniza Idris cipta sejarah apabila mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia yang berlangsung di Dataran Merdeka.
Pada acara itu, persembahan Noraniza yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia disertai 565 penari terdiri daripada pelajar sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan pelajar antarabangsa dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Noraniza, 54, berkata, dia lega dan usahanya itu diharapkan dapat menjadi panduan buat generasi pelapis baharu dalam tarian tradisional.
“Syukur, saya sangat teruja dan terkesima, seronok sangat. Ia tak sama kita menang anugerah, kita dapat pengiktirafan MBOR seolah-olah kita melahirkan sesuatu yang baharu buat generasi pelapis. Jadi, bila mereka hadir untuk mengikuti program ini kita berjaya dan satu kepuasan buat saya.
“Acara ini menjadi hari bersejarah juga buat saya terutama bila dapat membawakan lagu Irama Malaysia dalam sebuah persembahan tradisional asas yang terdiri daripada peserta yang ‘zero’, tak tahu apa-apa dalam seni dan budaya.
“Kita ajar dalam tempoh lapan hari. Kalau nak ikutkan, memang tak menjadi tapi saat akhir dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) dan sekolah antarabangsa memberi kerjasama tinggi untuk menjayakan program ini,” katanya.
Menurut Noraniza, dia hampir putus asa apabila berdepan pelbagai cabaran menjelang hari acara diadakan.
“Memang kalau ikutkan hampir nak gugur jantung, sedih, macam-macam cabaran dan dugaan. Alhamdulillah berkat doa dan kesabaran kita berjaya selesaikan pengiktirafan kali ini,” katanya.
Pada acara itu, peserta menari asas tradisional mengiringi persembahan Noraniza menerusi lagu baharunya Ala Ewa-Ewa duet bersama Hazama serta dua lagu lain iaitu Intan Payung dan Dikir Puteri selama tujuh minit.
Acara itu dianjurkan bersama Malaysia International Tourism Development Associasion (MiTDA) dan Persatuan Tatihseni Malaysia bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan.