Sukan

388 atlet karate terbaik Asia berentap di Melaka

Kejohanan Karate Asia Ke-19

Juara tahun lalu Jepun menjadi pasukan pilihan apabila mempertaruhkan 23 atlet pada Kejohanan Karate Asia ke-19 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, bermula esok hingga Ahad ini.

Pasukan itu menjadi pilihan utama berdasarkan kejayaan muncul juara keseluruhan kejohanan yang sama di Uzbekistan Disember tahun lalu apabila meraih lapan emas, dua perak dan tiga gangsa.

Jordan yang menjadi pencabar utama pula mempertaruhkan 11 atlet karate diikuti Kazakhstan dengan 19 atlet terbaik mereka.

Malaysia selaku tuan rumah pula mempertaruhkan seramai 16 atlet bertanding dalam 16 daripada 17 kategori yang dipertandingkan sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.

Antara atlet negara yang menjadi pertaruhan seperti Zakiah Adnan (kumite wanita 61 kg), Muhammad Arif Afifudin(kumite lelaki 81 kg), Syahirah Amirah Azlan (kumite wanita 68kg), C. Shahmalarani (kumite wanita 50kg) dan Muhammad Aiqal Asmadie (kata lelaki).

Tumpuan pada kejohanan kali ini sudah pastinya terarah kepada tiga atlet iaitu Kakeru Nishiyama dari Jepun, Assel Kanay (Kazakhstan) dan Abdel Rahman Almasatfa (Jordan) dalam mempertahankan pingat emas yang mereka menangi dalam acara masing-masing pada edisi lalu.

Sebanyak 17 kategori dipertandingkan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing dan enam kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita.

Sebanyak 32 negara mengambil bahagian membabitkan 388 atlet karate.

Dalam pada itu, Kejohanan Para Karate Asia Edisi ke-2 juga akan berlangsung serentak sempena Kejohanan Karate Asia itu.

Lebih menarik majlis perasmian esok akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan pukul 4.00 petang.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd. Halim.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, MAKAF berterima kasih kepada Persekutuan Karata Asia (AKF) dan Persekutuan Karate Dunia (WKF) di atas kepercayaan kejohanan ini diadakan di Melaka.

Menurutnya, kejohanan itu amat penting buat 16 atlet karate negara menjadi penanda aras bagi menghadapi Kejohanan Karate Dunia di Budapest, Hungary, Oktober ini.

“Penganjuran kali ini bukan sahaja akan mendatangkan keterujaan dan persaingan yang hebat di antara atlet terhebat bertanding daripada pelbagai negara Asia.

“Malah ia akan menjadi sebuah platform mempromosikan budaya, warisan dan semangat kesukanan dalam kalangan peminat yang bertanding,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button