31,291 polis, tentera di Perak tunaikan tanggungjawab mengundi
IPOH 15 Nov. – Seramai 31,291 pegawai dan anggota polis serta tentera menjadi pengundi awal di negeri ini apabila memulakan proses membuang undi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu melibatkan 12,215 anggota polis manakala 19,076 tentera.
Menurut beliau, sebanyak 72 pusat mengundi dibuka dengan 122 saluran melibatkan 54 premis polis dan 18 premis tentera.
“Seramai 1,641 orang pengundi awal akan mengundi di Kompleks Latihan dan Sukan Polis Kontinjen Perak di Jalan Pasir Puteh di sini membabitkan lima saluran.
“Bagi melancarkan proses membuang undi awal ini, seramai 1,131 orang pegawai dan anggota polis telah terlibat sebagai petugas,” ujarnya pada sidang akhbar di Kompleks Latihan dan Sukan Polis Kontinjen Perak di sini.
Mohd. Yusri bersama beberapa pegawai kanan polis lain meninjau proses pembuangan undi.
Dalam pada itu kata beliau, ketika ini tiada mana-mana pusat mengundi bagi pengundian awal di Perak yang terjejas akibat banjir.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) negeri Perak pula memaklumkan sehingga pukul 10 pagi tadi jumlah peratusan mengundi adalah sebanyak 27.92 peratus.