NasionalNegeriRencah Hidup

30,000 dijangka serbu Kampung Portugis sempena Hari Krismas

LIMPAHAN cahaya lampu berwarna-warni di Kampung Portugis, Ujong Pasir, Melaka dijangka menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara dianggarkan antara 20,000 hingga 30,000 orang sempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Portugis, Marina Danker berkata, kira-kira 118 rumah mengekalkan tradisi menyambut perayaan Krismas dengan sinaran lampu dan perhiasan yang menarik.

Menurut beliau, kira-kira 1,400 penduduk sudah mula membuat persiapan awal menghias rumah masing-masing sejak awal bulan ini dan berterusan sebelum 18 Disember ini.

Katanya, pokok-pokok Krismas sudah mula terdapat di rumah penduduk dihiasi dengan pelbagai lampu warna warni bagi menambah tarikan.

“Tahun ini saya meramalkan antara 20,000 hingga 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke Kampung Portugis.

“Walau pun penduduk tidak membuat sebarang keraian besar seperti rumah terbuka tetapi sudah memadai hanya menghias rumah dengan lampu-lampu warna warni. Ini sudah cukup.

“Sambutan tahun ini dijangka lebih meriah memandangkan sanak saudara dari Singapura khususnya dan dari luar negara akan pulang ke sini untuk menyambut Krismas,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Marina berkata, sambutan Krismas di Kampung Portugis akan bermula pada 18 Disember ini apabila kira-kira 400 kanak-kanak akan diraikan dalam satu majlis gilang gemilang pada pukul 4.00 petang.

Katanya, majlis tersebut bukan sahaja meraikan kanak-kanak di kampung berkenaan tetapi juga turut disertai kaum Melayu, Cina dan India serta lebih menarik, kehadiran dua Santa Claus.

Ujar beliau, pelancong dijangka mula datang ke Kampung Portugis pada malam 18 Disember kerana penduduk sudah mula memasang beraneka lampu limpah hingga lewat pagi.

Bagi sambutan kali ini katanya, orang ramai yang membawa kereta tidak lagi dibenarkan masuk ke kampung berkenaan sebaliknya perlu meletakkan kenderaan di luar.

“Kali ini sesiapa yang membawa kenderaan mereka perlu letak di luar kerana hendak mengelakkan daripada berlaku kesesakan yang teruk seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button