Nasional

3 bot ditahan guna bubu naga

PENEMUAN pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air oleh pasukan Op Aman berjaya menggagalkan penggunaan bubu naga yang diharamkan kerajaan bagi tujuan menangkap ikan.

Antara bot tempatan yang ditahan kerana menangkap siput retak seribu.

Berikutan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis telah merampas 20 set bubu naga.

Turut ditahan dua buah bot fiber dan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran ditahan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Mohd Hashim Mat Zain berkata, kesemua kes ini dikesan di empat lokasi berlainan di perairan Kuala Perlis, pagi semalam.

“Tangkapan pertama, sebuah bot dari Thailand dengan seorang tekong dan seorang kru warga Thailand berusia 25 dan 38 tahun di 1.2 batu nautika barat Pulau Ketam, Kuala Perlis pada pukul 8.40 pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, turut dirampas sembilan set bubu naga.

“Ia melibatkan pelbagai kesalahan antaranya menangkap ikan di perairan negara ini dan masuk tanpa dokumen yang sah,” katanya.

Mohd Hashim berkata, dua tangkapan lagi melibatkan bot menangguk siput retak seribu serta rampasan 11 bubu naga tanpa pemilik pada kedudukan kira-kira 0.60 hingga 0.70 batu nautika barat pantai Kuala Perlis pada pukul 8.56 hingga 9.10 pagi semalam.

Bubu naga tanpa pemilik yang telah dirampas.

Katanya, turut ditahan dua tekong dan dua kru, warga tempatan berusia lingkungan 26 hingga 53 tahun.

“Dua bot ini berpangkalan di Kuala Perlis dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan,” katanya.

Beliau berkata, anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk tiga buah bot, enjin, bubu naga, sangkar besi dan siput retak seribu serta ikan campur sekitar RM20,120.

Kesemua yang ditahan termasuk tiga tekong dan tiga kru, bot, bubu naga serta hasil tangkapan siput dan ikan campur dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button