Kuala Lumpur: Seramai 7,700 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur akan digerakkan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, semua pegawai dan anggota itu akan ditugaskan untuk membuat kawalan di 288 pusat mengundi di ibu kota dan Putrajaya.
“Kami mempunyai kekuatan keanggotaan kira-kira 8,700 orang, dan 7,700 daripadanya akan ditugaskan secara aktif ketika pilihan raya umum.
“Jumlah selebihnya pula akan menjalankan tugas-tugas am termasuk bertugas di kaunter dan lokap di setiap balai polis.
Azmi berkata, jumlah keanggotaan yang sama juga akan digunakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir dalam tempoh berkenaan.
“Kebiasaannya banjir yang berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah banjir kilat. Jadi, tugas kami adalah untuk menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap.
“Bagi tugasan menyelamat, kami akan mendapatkan bantuan daripada agensi lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkenaan.
“Semua orang masing-masing ada tanggungjawab, perancangan dan tindakan yang mahu dibuat. Namun harus ingat bahawa setiap apa sahaja yang kita buat, perlu mematuhi undang-undang,” katanya.