Berita

150 Keluarga Asnaf Dibantu, Ringankan Beban, Raikan Lebaran

DALAM usaha memastikan golongan asnaf tidak terpinggir daripada menikmati kemeriahan Aidilfitri, sebanyak 150 keluarga di ibu negara menerima bantuan makanan serta keperluan asas menerusi program kebajikan anjuran Pertubuhan Prihatin dan Muhibbah KL dan Selangor (PPMKLS) bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Bantuan ini bukan sekadar memenuhi keperluan harian, tetapi juga memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang berdepan dengan cabaran hidup di kota metropolitan.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kedua-dua pihak dalam membela kebajikan golongan asnaf yang terjejas.

Pengagihan bantuan dilaksanakan di tiga lokasi strategik sekitar Kuala Lumpur, iaitu Dewan Komuniti Sentul, PPR Wangsa Maju dan Perumahan Awam Seri Selangor.

Setiap keluarga menerima pakej bantuan lengkap yang mengandungi pelbagai keperluan harian, termasuk bahan mentah dan makanan asas seperti ayam, barang dapur seperti minyak masak, telur dan beras serta keperluan menyambut Aidilfitri seperti kuih raya, lemang dan kuah kacang.

Pengerusi PPMKLS, Shaari Ismail, berkata pemilihan penerima dibuat berdasarkan kajian keperluan terperinci yang dijalankan.

“Kami tidak hanya melihat kepada kriteria asnaf, tetapi juga meneliti keadaan sebenar setiap keluarga. Ada antara mereka yang terpaksa memilih antara membeli makanan atau ubat-ubatan,” katanya pada majlis agihan sumbangan barang keperluan Hari Raya di Perumahan Awam Seri Selangor, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 50 keluarga telah menerima manfaat tersebut.

Shaari bersama Penyelaras Skuad Jejak Asnaf MAIWP, Muhammad Ishak Zulkifly, turut turun ke lapangan untuk menghantar bantuan secara langsung ke rumah penerima yang tidak berupaya hadir, termasuk pesakit kronik dan warga emas kurang upaya.

Program ini menandakan tahun ketiga kerjasama strategik antara PPMKLS dan MAIWP, khususnya dalam meringankan beban golongan sasaran serta membawa sedikit kegembiraan menjelang Hari Raya. Kejayaan program ini mendorong PPMKLS dan MAIWP merancang untuk memperluaskannya pada tahun hadapan, dengan sasaran membantu 500 keluarga tambahan melalui kerjasama dengan lebih banyak pertubuhan tempatan.

Menurut data MAIWP, sejak 2021, sebanyak RM800 juta telah diperuntukkan bagi 38 skim bantuan asnaf yang berbeza.

“Kerjasama dengan pertubuhan akar umbi seperti PPMKLS membolehkan kami menembusi lapisan masyarakat yang sering terlepas pandang,” jelas Muhammad Ishak.

Bukan sekadar bantuan makanan, MAIWP turut menawarkan pelbagai bentuk bantuan komprehensif termasuk kewangan bulanan, pendidikan, perubatan dan kecemasan.

Yang menarik, mereka juga menyediakan program pembangunan modal insan seperti kursus kemahiran untuk membantu asnaf berdikari.

Bagi memudahkan orang ramai, MAIWP menyediakan pelbagai saluran permohonan yang fleksibel termasuk portal eZakat, aplikasi mudah alih MAIWP Care serta perkhidmatan kaunter di 12 lokasi seluruh Wilayah Persekutuan.

Selain itu, mereka mempunyai Skuad Jejak Asnaf seramai 30 anggota yang beroperasi tujuh hari seminggu untuk memberikan perkhidmatan pintu ke pintu.

Muhammad Ishak berkata, program ini bukan sekadar memenuhi keperluan segera, tetapi turut memberi impak jangka panjang yang signifikan.

“Beberapa penerima yang sebelum ini hidup serba kekurangan kini sudah mampu menyara keluarga dengan lebih baik setelah mendapat bantuan berterusan dan latihan kemahiran,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button