Ekonomi

1,400 pas My30 Plus30 terjual pada hari pertama

KEMPEN ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’, yang bermula semalam untuk mempromosi pas perjalanan tanpa had My30 bagi rangkaian pengangkutan awam Rapid KL, mendapat sokongan memberangsangkan dengan lebih 1,400 sudah mendaftar pada jualan hari pertama.

Terhad kepada 8,333 pengguna sahaja dan berdasarkan siapa dulu dia dapat, Rapid KL menasihati para pelanggan untuk tidak berlengah dan segera mengambil peluang daripada promosi ini untuk tidak kecewa kerana pakej yang diperkenalkan sebagai satu inisiatif merangsang aktiviti pelancongan domestik ini amat menguntungkan.

Di bawah kempen yang akan berlangsung sehingga 31 Mac tahun depan untuk para pengguna perkhidmatan tren dan bas Rapid KL, satu baucar pas percuma My30 akan diberikan untuk setiap pembelian di mana pas percuma My30 ini boleh digunakan sendiri untuk pembaharuan pada bulan berikutnya.

“Walaupun berdasarkan siapa dulu dia dapat, promosi ini terhad kepada 1 seorang pengguna dan sekali penebusan sahaja. Tempoh penebusan untuk pas percuma adalah antara 15 Januari 2021 dan 31 Mac 2021,” menurut satu kenyataan Rapid KL hari ini.

Pembelian pas-pas ini boleh dibeli di semua kaunter-kaunter khidmat pelanggan di stesen-stesen LRT, MRT, monorel dan BRT di samping lapan hab bas terpilih – Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama. Urusan penebusan, bagaimanapun, hanya boleh dibuat di dua lokasi iaitu di Sayap Timur stesen KL Sentral dan di Has Bas Pasar Seni.

 

Ditawarkan eksklusif untuk warga negara Malaysia, pas perjalanan tanpa had My30 membolehkan penumpang untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas Rapid KL berulang kali tanpa had untuk 30 hari di Lembah Klang dan Selangor dengan hanya berbelanja RM30.

Kempen ‘My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1’ ini adalah antara inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri pada 23 November lepas sebagai pelan pemulihan pelancongan domestik yang bakal diterajui oleh Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Di bawah inisiatif itu, agensi berkenaan akan bekerjasama erat bersama para pemain industri seperti operator pengangkutan awam darat, syarikat penerbangan dan badan-badan bukan kerajaan dalam industri pelancongan di samping penggiat-pengiat industri pelancongan seni. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button