12 Kontena musnah terlibat kebakaran
12 KONTENA berisi pelbagai barangan musnah dalam satu kebakaran di Pelabuhan Barat, Klang, semalam.
34 pegawai dan anggota bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran tersebur pada 5.37 petang.
BBP terbabit adalah Pelabuhan Barat, Andalas, Kota Anggerik, Petaling Jaya, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Puchong, Subang, Serdang dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Memetik laporan daripada Berita Harian, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pada awalnya kebakaran membabitkan lapan unit kontena yang disusun secara empat tingkat.
“Sehingga 9.30 malam tadi, 12 unit kontena dengan lapan muatan telah dikenalpasti iaitu alat ganti, alatan muzik, kapas, baby walker, minyak pelincir, benang, amionik dan sistem pemasangan bumbung.
“Muatan empat lagi unit kontena masih belum dikenal pasti,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Norazam berkata, kerja-kerja mengalihkan kontena yang belum terbakar sedang dilakukan dan tiada kemalangan membabitkan mangsa berlaku. – Berita Harian – SM