SEBANYAK 10 pengusaha dan pemandu lori tripper, lori kargo dan lori padi di Perlis hari ini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jejawi Permatang, Arau, dekat sini hari ini.
Memorandum ini berhubung dengan rayuan kelonggaran pengoperasian kenderaan lori tripper, lori kargo dan lori padi di jalan raya.
Ia diketuai oleh Ku Ismail Ku Md Rashid selaku wakil kepada pengusaha-pengusaha dan pemandu lori tripper, lori kargo dan lori padi di negeri ini.
Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah JPJ Perlis, Shaufiz Osman.
Ku Ismail berkata, isu yang dikemukakan dalam memorandum itu adalah hasil pertemuan dengan kira-kira 200 pengusaha-pengusaha dan pemandu lori tripper, lori kargo dan lori padi negeri ini.
Katanya, sebanyak 12 isu yang terkandung dalam memorandum berkenaan dikemukakan bagi perhatian Kementerian Pengangkutan.
Beliau berkata, antara cadangan itu termasuk mengkaji semula Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibawa oleh lori supaya berat BDM itu selari dengan muatan yang dibawa.
“Ini kerana lori yang membawa muatan paras badan apabila ditimbang, nilai muatannya melebihi nilai BDM yang diluluskan,” katanya kepada media selepas penyerahan memorandum berkenaan.
Selain itu katanya, mata demerit perlu dihapuskan kerana dengan penguatkuasaan seperti sekarang, pemandu tidak dapat memperbaharui lesen memandu dan tidak boleh memandu sebarang kenderaan di jalan raya.
Hal yang demikian katanya, ia telah menyebabkan pemandu tidak boleh menampung belanja hidup keluargan dan akan menimbulkan masalah sosial kepada negara. – SM