Nasional

Zahid nyatakan komitmen selesaikan masalah hutang Felcra

Langkah-langkah proaktif akan diambil bagi menangani masalah yang dialami Felcra Berhad dan anak-anak syarikatnya susulan beban hutang tinggi yang ditanggung entiti berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Memetik BERNAMA, beliau berkata satu jawatankuasa telah dibentuk bagi meneliti syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan, dan pihaknya akan mencari jalan bagi ‘membersihkan’ entiti itu daripada penyelewengan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelbagai aspek berhubung perkara itu telah diteliti, dan beliau juga telah berbincang dengan ketua pegawai eksekutif serta pihak pengurusan anak-anak syarikat di bawah Felcra.
Beliau berkata perbincangan itu turut menyentuh usaha mencari mana-mana agensi atau syarikat yang berminat untuk membeli projek pembangunan komersial Felcra di Jalan Semarak Kuala Lumpur.
“Setakat ini bangunan (di Jalan Semarak) itu belum dijual, tetapi sebagai menteri yang bertanggungjawab ketika ini untuk membetulkan akaun dan pelaburan FELCRA, saya telah dapat sekurang-kurangnya tiga agensi ataupun syarikat yang berpotensi membeli bangunan yang telah siap itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar hari ini.
Ahmad Zahid berkata kos pembinaan bangunan itu didapati agak mahal, dan ia perlu dijual mengikut harga pasaran supaya hasil jualan itu akan dapat membayar balik hutang-hutang Felcra kepada kerajaan.
Pada 26 Jun lepas PAC mengemukakan lima syor kepada kerajaan supaya memantau isu hutang tinggi yang ditanggung Felcra Berhad serta anak-anak syarikatnya.
PAC mengesyorkan KKDW dan Felcra supaya lebih bertanggungjawab dan tegas dalam mengawal selia anak-anak syarikatnya supaya menjana keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button