Yayasan Hasanah salurlebih RM822,607 bantuan kepada mangsa banjir
KHAZANAH Nasional Berhad melalui Yayasan Hasanah (Hasanah), telah segera menyalurkan lebih RM822,607 untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas akibat banjir monsun yang melanda Malaysia.
Sebagai cabang impak sosial Khazanah, Hasanah telah berada di barisan hadapan dalam usaha bantuan bencana, memastikan respons yang pantas dan bantuan yang berkesan sejak banjir bermula pada awal
November 2024.
Setakat ini, dana telah diagihkan kepada tujuh agensi bantuan kemanusiaan, bertujuan membantu lebih 12,860 individu dan 1,010 keluarga di kawasan yang terjejas.
Dengan situasi yang terus berubah, Hasanah bersedia untuk menyalurkan lebih banyak sumber bagi memenuhi
keperluan mendesak komuniti yang memerlukan di seluruh negara.
Dalam kenyataan rasmi, Hasanah menegaskan komitmennya untuk meringankan beban mereka yang terjejas: “Kami kekal teguh dalam misi kami untuk menyediakan bantuan kritikal kepada keluarga dan individu yang terkesan oleh banjir monsun. Usaha kami tertumpu kepada memastikan sokongan yang segera dan bermakna, dan kami terus berdiri bersama komuniti yang kami santuni.”
Laporan dari lapangan menunjukkan terdapat beberapa keperluan mendesak bagi komuniti yang terkesan. Antara keutamaan kritikal ialah bekalan air minuman dan makanan, termasuk makanan sedia untuk dimakan (RTE) dan kit siap masak (RTC), untuk menyokong mangsa yang berpindah dan mereka yang masih terperangkap di rumah.
Kit kebersihan dan sokongan perubatan juga amat diperlukan, terutamanya apabila risiko kesihatan meningkat akibat pendedahan berpanjangan kepada air banjir. Keperluan kumpulan rentan, seperti golongan warga emas dan mereka yang sakit, memerlukan perhatian khusus.
Barangan seperti selimut, pakaian panas, dan bantuan perubatan sangat diperlukan oleh individu-individu ini yang menghadapi kesukaran lebih besar semasa banjir. Untuk keluarga yang mempunyai anak kecil, barangan seperti lampin bayi dan susu formula sangat diperlukan, selain barangan keselesaan seperti selimut, tuala, tilam, dan kit keperluan lengkap.
Selain itu, generator amat diperlukan untuk memulihkan bekalan elektrik di kawasan yang terputus bekalan.
Setakat ini, Yayasan Hasanah telah menyalurkan bantuan bencana kemanusiaan melalui 7 rakan kerjasama NGO: HARAP Kuantan, HARAP Pekan & Rompin, Iltizam Relief Society, IMAM Response & Relief Team (IMARET), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO), dan Pertubuhan Gerakan Prihatin Kuala Krai.