Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ziarah Raja Perlis
KANGAR 18 Ogos – Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berangkat menziarahi Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kangar pada malam semalam.
Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Alhmarhum Tengku Besar Mahmud.
Mengiringi sama ialah anakanda-anakanda Baginda berdua, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz.
Tuanku Muhriz menziarahi Tuanku Syed Sirajuddin yang baru sahaja menjalani pembedahan kaki kanan pada penghujung bulan Mei yang lalu.
Terdahulu daripada itu pada sebelah petangnya Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani selamat berangkat tiba di Stesen KTM Bandar DiRaja Arau dari Kuala Kumpur dan disambut sendiri oleh Tuanku Tengku Fauziah serta para pembesar negeri.
Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan turut berkenan meluangkan masa berangkat mengadakan lawatan ke Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis dan menghadiri Santapan Malam bersama Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis.