Nasionalpilihan

Warga Malaysia di luar negara pulang bercuti dipelawa ke Perlis – Raja Muda

DIASPORA serta warga Malaysia di luar negara yang pulang bercuti ke tanah air dialu-alukan untuk bertandang ke Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang akan datang ini.

Suasana Perlis yang tenang, damai dan menawan menjadikan negeri ini semakin menjadi tumpuan khususnya bagi warga kota serta bandaraya besar untuk berehat dan menghabiskan cuti tahunan masing-masing dengan meluangkan masa dengan ahli keluarga yang tersayang.

Musim cuti sekolah pada penghujung tahun ini juga sekali lagi membuktikan bahawa Negeri Perlis menawarkan beberapa ciri penarik kepada para pengunjungnya termasuklah kos yang berpatutan seperti penginapan, makanan serta bayaran masuk ke lokasi-lokasi menarik.

Makanan yang unik dan sedap serta harga yang tidak mahal turut menjadi faktor penarik yang memberi kepuasan kepada para pengunjung untuk berbelanja dan datang lagi berulang kali ke Perlis setakat ini.

Demikian menurut hebahan Istana Arau dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika Baginda berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, Qatar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Duta Besar, Zamshari Shaharan dan isteri, Fazlinda Fudzil serta Kaunselor merangkap Ketua Canseri di Pejabat Perwakilan Malaysia di Doha, Maryam Masyitah Ahmad Termizi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanada-anakanda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, Baginda sering mendapat komen positif daripada kenalan Baginda bahawa rakyat Perlis kebanyakannya memiliki sifat peramah dan mesra dalam menyantuni para pengunjung yang hadir.

Aspek ini Baginda harap dapat dikekalkan selain terus menambah baik tahap kebersihan dan keceriaan secara umumnya.

Kemajuan pengangkutan awam seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan juga Komuter turut menjadi pilihan baru para pelancong untuk ke Perlis dan turun di Stesyen Bandar DiRaja Arau atau Padang Besar selain melalui jalan raya.

Sementara itu, Zamshari menyembah maklum kepada Raja Muda bahawa Malaysia dan Qatar mempunyai kerjasama ekonomi yang erat, banyak peluang kerjasama telah diterokai dan hasilnya dapat dilihat dengan peningkatan dagangan dua hala ke tahap yang tertinggi pernah direkodkan iaitu USD 1 bilion pada tahun lalu.

Eksport Malaysia ke Qatar didominasi oleh produk petroleum, produk minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik manakala Malaysia mengimport barangan seperti produk kimia, besi dan bahan petroleum tersejat daripada Qatar. – SM

Artikel berkaitan > Nuramrul Amri Chan penerima Anugerah Peserta TDA MAIPs

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button