BeritaPendidikan

Warga KUIPs terus tingkat usaha capai universiti penuh – Raja Muda Perlis

3 April 2022.
Arau.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap supaya semua warga Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan berkhidmat dengan lebih maju ke hadapan serta dinamik bagi sama-sama berusaha meningkatkan reputasinya sebagai sebuah Universiti penuh tidak lama lagi melalui perubahan mentaliti kelas pertama dari segi pemikiran serta tindakan terutama sekali dalam aspek kesegeraan kerja serta diharapkan dapat meningkatkan lagi kesiap-siagaan yang tinggi sebagai Warga Universiti.

Demikian titah baginda ketika berkenan menerima mengadap Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar yang mempersembahkan surat Kelulusan Naik Taraf KUIPs kepada peringkat Universiti di Galeri DiRaja Arau pada jumaat petang.

Husaini diiringi sama oleh Pengarah Bahagian Standard Swasta JPT, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood dan Penolong Pengarah JPT Nabil Muzhaffar Amir Hamzah.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, Datuk Profesor Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin, Rektor Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Baginda yang juga merupakan Tuanku Canselor KUIPs mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ketua Pengarah dan Pengarah Bahagian Standard Swasta yang telah meluluskan permohonan daripada KUIPs untuk menjadi sebuah Universiti.

Penghargaan juga baginda ucapkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), seluruh warga KUIPs sendiri termasuk bekas-bekas rektor serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung sehingga mencapai tahap Universiti ini dan turut mendoakan semoga segala usaha serta inisiatif dalam membawa imej termasuklah nama baik KUIPs akan sentiasa diberi limpah rahmat, diredhai dan diberkati oleh Allah S.W.T..

Tuanku Raja Muda juga berharap KUIPs akan berusaha memartabatkan Pendidikan Islam bukan sahaja di negara kita tetapi juga di peringkat luar negara kerana halatujunya kelak juga akan menekankan kepada keterlihatan antarabangsa dalam aspek pengambilan pelajar, penyelidikan, perundingan dan penganjuran seminar dan persidangan di peringkat antarabangsa

Jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Ini selari dengan perancangan strategik KUIPs 2025 untuk menjadi sebuah Universiti Islam yang kompetitif di peringkat Asia Tenggara dan menjadi Universiti Islam terkemuka serta terunggul di peringkat Asia menjelang tahun 2035. Penarafan kepada peringkat Universiti ini juga diharap dapat meningkatkan lagi reputasi universiti ini supaya lebih berdaya saing dengan memfokuskan kepada bidang-bidang tujahan berteraskan Islam dan ketamadunan’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button