Vaksin Covid-19 untuk Malaysia diperoleh Februari tahun depan – Azmin Ali
MENTERI Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan menjangkakan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 untuk Malaysia diperoleh pada Februari 2021.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan itu juga berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada mesyuarat kabinet baru-baru ini.
“… ini adalah bekalan awal… bekalan akan berterusan hingga penghujung 2021.
“Bekalan awal ini juga kita akan gunakan untuk barisan hadapan negara yang berdepan risiko tinggi untuk mengawal penularan Covid-19, golongan ‘vulnerable’ juga akan didahulukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kawasan Parlimen Gombak hari ini.
Menurut Azmin lagi, kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat-syarikat farmaseutikal lain.
“Kerajaan sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin yang lebih besar bagi memenuhi keperluan (negara). Kerajaan juga akan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan untuk mengetahui peratusan mereka yang perlu divaksin,” katanya.
Pada 24 November lalu, Malaysia mengumumkan akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.
Penghantaran bekalan pertama sebanyak 1 juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan. – SM