Syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) sudah bersedia dengan persiapan untuk membekalkan vaksin COVID-19 bagi menjayakan program PICK Remaja.
Ahli Farmasi, Hal Ehwal Regulatori, Pharmaniaga Berhad, Norhana Nawawi Suri berkata, ia termasuk persiapan mendapatkan kelulusan serta proses membawa masuk bahan mentah vaksin untuk dibotolkan dari China.
“Untuk persediaan Pharmaniaga, kami memang komited dan sentiasa bersedia untuk memastikan pembekalan vaksin yang berterusan, selaras dengan program PICK untuk golongan remaja ini.
“Jadi pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk memfailkan permohonan untuk mendapatkan kelulusan, mempersiapsiagakan kilang dan proses untuk membawa raw material dari negara China untuk di diproses atau dibotolkan, dan semua perkara tersebut sedang dilakukan dan on going, kami bersedia,” katanya melalui program Agenda AWANI pada Isnin.
Sementara itu, ibu bapa disaran bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyokong usaha vaksinasi COVID-19 ke atas kanak-kanak berusia bawah 12 tahun pada masa akan datang.
Antara persediaan yang boleh diambil negara bermula dari sekarang ialah:
1. Mengingatkan diri mereka bahawa mereka pernah menerima vaksin semasa kecil
2. Berkongsi maklumat tentang kepentingan vaksin dan apa yang dijangka akan berlaku semasa proses pemberian vaksin itu.
3. Yakinkan kepada ibu bapa bahawa penting untuk melindungi golongan kanak-kanak tersebut agar mereka dan orang sekelilingnya dilindungi.
4. Memastikan anak-anak sihat dan jika mereka menunjukkan simptom, rekod dan dapatkan rawatan sewajarnya.
5. Memantapkan komunikasi sama ada di pejabat, media sosial dan media elektronik mengenai keyakinan terhadap vaksinasi ke atas kanak-kanak
Pada Mei lalu, Badan Regulatori Eropah meluluskan pemberian vaksin Pfizer untuk remaja berumur 12 hingga 15 tahun.
Kemudian, pada June lalu, vaksin Moderna diluluskan untuk kegunaan remaja 12 hingga 17 tahun.
Program imunisasi telah bermula sejak Jun 2021 melibatkan United Kingdom,Denmark, Sepanyol, Perancis, Jerman dan Itali.
Amerika Syarikat dan Kanada pula mula melakukan vaksinasi ke atas remaja 12 tahun ke atas melalui vaksin Pfizer selepas diluluskan pada Mei 2021.
Kelulusan penggunaan vaksin Pfizer ke atas remaja 12 tahun ke atas di Singapura pula adalah pada Jun lalu, manakala Jepun dan Filipina meluluskan penggunaan vaksin sama pada Mei 2021.
China pula telah meluluskan vaksin keluaran syarikat Sinovac bagi kanak-kanak 3 hingga 17 tahun dan diikuti Chile, Indonesia dan Kemboja.
Dalam pada itu, Pharmaniaga juga akan memastikan bekalan bagi dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 untuk orang dewasa mencukupi.
“Bercakap mengenai dos penggalak, sebenarnya ia bukan perkara baharu, kerana dos penggalak ini telah diberikan untuk vaksin-vaksin lain juga, bergantung kepada keperluan.
“Jadi, kami sebagai salah seorang pemain atau partner, perlu menjalankan tanggungjawab kami untuk menyediakan bekalan vaksin yang mencukupi jika perluasan itu dilakukan kepada seluruh rakyat atau orang dewasa untuk booster dose,” ujarnya lagi.