Hiburan

Usanita terbit drama di TikTok, pilih Fattah dan Sophia sebagai hero dan heroin

USANITA Sdn Bhd, menerusi cabang terbarunya dalam bidang seni, dengan bangga mengumumkan pelantikan Fattah Amin sebagai Duta Eksklusif dan Sophia Albarakbah sebagai Wajah Baharu bagi tahun 2025 di bawah Usanita Entertainment.

Sebagai langkah pertama yang signifikan, Usanita Entertainment bakal menerbitkan drama bersiri pertama yang akan diarahkan oleh sutradara terkenal, Erma Fatima.

Menampilkan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah sebagai watak utama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan, drama tersebut akan ditayangkan secara eksklusif di platform digital TikTok Usanita. Ini akan menawarkan pengalaman tontonan yang lebih segar dan moden kepada penonton.

“Pada masa kini, saya jarang menonton TV. Sebaliknya, saya lebih suka menonton teaser drama dan filem melalui telefon bimbit dan media sosial. Saya rasa platform digital memudahkan penonton menonton kandungan dengan hanya menekan jari mereka, dan mereka boleh menonton mengikut masa yang sesuai dengan mereka. Itulah sebabnya saya lebih memilih platform digital,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikan di Bangsar semalam.

Datuk Adzliana juga mengulas mengenai pemilihan Fattah Amin sebagai hero dan Sophia Albarakbah sebagai heroin, yang mana penggambaran drama ini akan dijalankan di luar negara, khususnya di Universiti Oxford.

“Pelantikan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah serta penerbitan drama bersiri pertama ini adalah bukti kesungguhan kami untuk menjadi perintis dalam menggabungkan seni kreatif dan teknologi digital,” tambah beliau.

“Usanita Entertainment bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan seni Malaysia, tetapi juga untuk memperkukuh hubungan industri kreatif dengan masyarakat di peringkat global.”

Selain itu, Usanita juga mengumumkan kesinambungan program Bridge to Brilliance 3.0, yang akan berlangsung di Oxford, London, pada Februari 2025. Program ini bertujuan untuk menggalakkan perbincangan mengenai kepimpinan dan keusahawanan sosial bersama Datuk Adzliana, sekali gus mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang menganjurkan sesi townhall di Oxford.

Bridge to Brilliance 3.0 adalah platform yang menghubungkan pemimpin dan usahawan sosial dari seluruh dunia untuk mencetuskan idea-idea baharu yang boleh membawa perubahan positif,” ujar beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button