Ekonomi

Usahawan bimbingan MADA jana pendapatan lebih RM17 juta

SERAMAI 759 orang usahawan-usahawan yang telah dibimbing oleh pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah 1 Perlis telah menjana pendapatan berjumlah RM 17.2 Juta melalui pengeluaran Industri Asas Tani seperti kuih tradisional, produk-produk makanan dan pengeluaran produk tanaman, ternakan dan akuakultur serta Agropelancongan sehingga bulan September 2024.

MADA memainkan peranan dan tanggungjawab dalam memajukan industri padi di Kawasan Muda Negeri Perlis dan Kedah. Pihak MADA juga turut dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program-program keusahawanan tani melibatkan Usahawan Industri Asas Tani dan Usahawan Asas Tani serta ianya adalah sebahagian daripada agenda pihak Kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan.

Demikian dipersembah maklumkan oleh pihak MADA kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi taklimat bersempena ‘Program Jelajah Agro Pelancongan MADA Tahun 2024’.

Dalam program tersebut Tuanku Raja Muda berkenan untuk mengunjungi dan menyaksikan sumbangan MADA kepada salah satu usahawan Wilayah I MADA iaitu Azimah Ahmad yang merupakan pengusaha ternakan lembu dan menerima bantuan sebanyak RM 19,500.00 daripada MADA.

Baginda turut berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Destinasi Agropelancongan MADA Wilayah 1 Perlis bertempat di Homestay Dangau Tok Chaq, Simpang Empat.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh dan Timbalan Pengurus Besar Pertanian MADA, Zulkifli Romli.

Program ini disekalikan dengan Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Simpang Empat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut menyantuni dan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada edisi kali ini iaitu Mohd Zulkiflee Ismail, 58 tahun dari Kampung Permatang Pauh, Jaafar Mat Isa, 76 tahun dari Simpang Empat dan Ku Md Khir Ku Deris, 66 tahun dari Kampung Datuk Ahmad Musa.

Setiap asnaf menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan harian masing-masing.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button