UPSI sedia bantu realisasi hala tuju Muar Perkasa 2030
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan membantu merealisasikan aspirasi Muar Perkasa 2030 dengan menggembeling segala kepakaran yang dimiliki institusi pendidikan tersohor itu.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang berucap merasmikan program Retreat Muar Perkasa 2030 pada kunjungan Delegasi Majlis Daerah Muar di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah berkata Muar adalah daerah yang berpotensi dan memiliki nilai sejarah yang menarik.
Seramai 70 wakil agensi kerajaan daerah Muar hadir pada majlis menerima Delegasi Pejabat Daerah Muar berkenaan.
Beliau berkata UPSI yang sedang menyambut ulang tahun ke-100 sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC) memiliki sejarah yang panjang dalam melahirkan ramai tokoh-tokoh pendidikan, negarawan dan persuratan , malah mencapai kemajuan termasuk di pentas antarabangsa hari ini sehingga menjadi institusi rujukan dunia pendidikan negara.
Pelbagai fasiliti seperti UPSI Sport City, UPSI Adventure Park, Perpustakaan Digital, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara( NCDRC), dan Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) antara yang melonjakkan nama UPSI.
Justeru, Md Amin berkata kekuatan dan keistimewaan yang dimiliki daerah Muar dari aspek sejarah, kepimpinan, gastrotourism, itu akan diperkukuhkan lagi dengan idea baharu dari UPSI dalam memacu hala tuju kekecemerlangan daerah Muar.
Untuk itu, katanya, UPSI akan membantu Muar antaranya dari aspek memperkasa agensi dan komuniti, ekonomi dan bidang keberhasilan baharu; melonjakkan pendidikan, peradaban dan perpaduan, dan digital Muar.
Selain itu, membantu berhasrat mengupayakan kelompok belia dan warga emas penghayatan, mengupayakan ekosistem Living Lab dan Revolusi Industri 4.0 dan Society 5.0.
Beliau turut menyarankan tentang penekanan terhadap aspek membina jati diri masyarakat Muar selain memanfaatkan sejarah dan legasi, penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan, ekonomi serta keinsanan sekali gus dapat mengarusperdanakan Bandar Maharani Bandar Diraja.
Menurut beliau antara UPSI dan Muar terdapat beberapa persamaan dari aspek legasi sejarah, bumi nasionalis, gastrotourism, serta hasrat untuk terus maju dalam konteks hala tuju Muar Cemerlang 2030.
“Muar dikenali dengan makanan seperti mee bandung, mee siput, sirap bandung serta satay yang menjadi tarikan kepada masyarakat luar, “katanya.
Pegawai Daerah Muar, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin berkata retreat bertujuan memantapkn sistem pentadbiran agensi-agensi kerajaan yang dapat membantu memperkasakan hala tuju Muar Perkasa 2030.
Katanya, kunjungan delegasi Muar bertujuan berkongsi aspirasi kecemerlangan sebagai penanda aras untuk memperkukuhkan hubungan anta agensi.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan UPSI yang sudi berkongsi idea-idea menarik yang dapat membantu usaha merealisasikan aspirasi Muar Perkasa 2030,” katanya.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Muar, Jamil Hasni Abdullah serta Pentadbir Tanah Daerah Muar, Muhamad Helmi Ya’kub.