
UPSI raih pingat Emas, Perak di MTE 2025 hasil inovasi pendidikan bertaraf antarabanga
TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi penyelidikan pendidikan terkemuka apabila berjaya meraih Pingat Emas dan Pingat Perak di Malaysia Technology Expo (MTE) 2025 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu.
Kejayaan ini dicapai menerusi dua projek inovasi pendidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a yang menerima Pingat Emas serta Program Pensijilan Profesional Guru Takmir yang dianugerahkan Pingat Perak.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, menyifatkan kemenangan ini sebagai satu pencapaian besar bagi universiti dalam memperkukuhkan peranan UPSI sebagai institusi yang mendukung inovasi dalam pendidikan.
“Kejayaan ini bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih para penyelidik UPSI tetapi juga membuktikan bahawa institusi kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Anugerah Emas dan Perak yang diperoleh di MTE 2025 menjadi bukti bahawa UPSI terus relevan dalam penghasilan penyelidikan berimpak tinggi.
Tegas beliau, bahawa UPSI akan terus memperkasa penyelidikan dan inovasi bagi menghasilkan penyelesaian yang dapat memberi manfaat kepada sistem pendidikan negara.
“Kami akan terus menyokong usaha penyelidik dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja meningkatkan kualiti pendidikan tetapi juga memberi kesan langsung kepada pembangunan modal insan,” tambahnya, ” katanya.
Beliau berkata melalui pengiktirafan ini, UPSI terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi pendidikan, seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi celik al-Quran yang berdaya saing.
“Pencapaian ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pendidikan dan pembangunan kanak-kanak di Malaysia,” ujar beliau.
Projek inovasi ini diterajui oleh Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, bersama Dr. Sakinah Salleh dari Pusat Ulul Albab UPSI dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa dari NCDRC dan FPM, Dr. Intan Farahana Abdul Rani dari
Pusat Penyelidikan Pembangunan Kanak-Kanak Kebangsaan
(NCDRC) dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM )serta Prof. Madya Dr. Aslina Saad dari Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (META).
MTE 2025, yang berlangsung dari 20 hingga 22 Februari, menjadi medan kepada para penyelidik dan inovator dalam serta luar negara untuk mempersembahkan hasil ciptaan mereka.
Menurut Dr. Norazilawati, kurikulum ini melalui pelbagai fasa pembangunan dan penilaian sebelum mencapai tahap pengiktirafan antarabangsa.
“Kurikulum Thalatha Tis’a dirangka bagi memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21 dengan mengintegrasikan teknologi pendidikan serta pendekatan pedagogi inovatif dalam pembelajaran hafazan al-Quran.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan penyelidikan tempatan dalam mencetus perubahan positif dalam sistem pendidikan.
Menurutnya, kejayaan ini turut disokong sepenuhnya penaung program, Tan Sri Idris Jusoh, serta pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang berperanan dalam memperkasakan penyelidikan dan inovasi UPSI.
Sementara itu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Saipolbarin Ramli juga memenangi Pingat Perak bagi projek Program Pensijilan Profesional Guru Takmir.
Dr. Saipolbarin Ramli berkata, program ini bertujuan untuk memperkasakan guru takmir dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih mendalam dalam pengajaran agama Islam di surau dan masjid di seluruh negara.
“Program ini dirangka bagi memberi pendedahan kepada para guru takmir mengenai pendekatan pedagogi moden, penggunaan teknologi dalam penyampaian kuliah, serta pengetahuan mendalam dalam bidang syariah dan fiqh.
“Dengan adanya pensijilan ini, guru takmir dapat meningkatkan keberkesanan dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat, selari dengan keperluan semasa dan perkembangan teknologi pendidikan.
Menurut beliau, kejayaan ini menunjukkan komitmen UPSI dalam memastikan pendidikan Islam terus relevan dan berkualiti.
“Program Pensijilan Profesional Guru Takmir ini membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menumpukan kepada pendidikan arus perdana, tetapi juga berperanan dalam memperkasakan pendidikan Islam secara lebih meluas,” katanya.