UPSI Anjur Pesta Buku UPSI dan Fiesta Buku Muallim Sempena Sambutan 100 Tahun
Buat julung kalinya Pejabat Karang Mengarang (Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris) menganjurkan Pesta Buku bersempena Sambutan 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Muallim 2022 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi Dan Sumber Manusia Negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Dalam ucapannya Saidi berkata buku adalah jendela dunia. Dengan buku, ilmunya boleh mengubah dunia, betapa ia menggambarkan pentingnya budaya membaca.
Namun, katanya, data menunjukkan budaya membaca dalam kalangan warga Malaysia masih rendah dengan hanya memperuntukkan kurang tiga jam seminggu berbanding masyarakat India, Taiwan dan China yang memperuntukkan lebih 8 hingga 10 jam seminggu.
“Angka yang membimbangkan ini memerlukan usaha yang lebih konstruktif dan serius daripada semua pihak untuk memupuk minat dan budaya cinta buku,” ujarnya.
Tambah beliau, penganjuran pesta buku yang menghimpunkan para pencinta buku, karyawan dan penerbit buku dari seluruh Malaysia ini sangat signifikan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menghayati pembelajaran sepanjang hayat seperti hasrat kementerian,” katanya pada majlis perasmian Pesta Buku Sempena Sambutan 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Muallim 2022.
Turut diadakan Pelancaran Buku Baharu terbitan UPSI, Pelancaran Kedai Buku dan Kedai Buku dalam Talian UPSI dan Pelancaran Kad UPSI Privilege.
“Pendidikan tidak hanya terhad kepada usia muda, tetapi perlu dilanjutkan sepanjang hayat. Oleh yang demikian, penerbitan buku-buku baharu yang dilancarkan pada hari adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam memperkasakan budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau berkata inisiatif UPSI memberi keistimewaan keahlian kad UPSI Privilege kepada orang awam bagi menikmati diskaun harga dalam penggunaan kemudahan di UPSI seperti UPSI Adventure Park, Hotel Scholar’s Suites, Perpustakaan Tuanku Bainun, pembelian buku terbitan UPSI dan banyak lagi membuktikan UPSI sentiasa ke hadapan dalam mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 melalui Purple Book: Enhancing University Income Generation, Endowment & Waqf yang menggariskan penjanaan pendapatan dan pendanaan universiti melalui aktiviti komersial termasuk endowmen dan wakaf.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pesta buku yang dijangka dikunjungi lebih 10,000 pengunjung dari komuniti Muallim dan sekitarnya ini padat dengan pelbagai aktiviti pameran dan jualan.
Katanya, ini sekali gus menjadi ‘syurga’ para pencinta buku serta menjadi tunjang kepada kejayaan memartabatkan tradisi keilmuan dan pembugaran budaya membaca bukan sahaja dalam kalangan warga UPSI dan Muallim, tetapi seluruh keluarga Malaysia amnya.
Pengarah Pejabat Karang Mengarang, Prof Madya Dr Rosmilah Misnan berkata program bermula 31 Oktober hingga 3 November itu menghimpunkan lebih 30 pempamer dan memasarkan hampir 10,000 buku pelbagai bidang ini padat dengan pengisian menarik berkaitan buku dan aktiviti ilmiah seperti bicara buku, forum, resensi buku, pameran Festival of Ideas.
Katanya, program turut diserikan dengan persembahan Tarian Mak Yong, pertandingan nyanyian, persembahan oleh selebriti popular, Irfan Haris, Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan, cabutan bertuah, sumbangan buku-buku terbitan UPSI kepada sekolah-sekolah dan banyak lagi aktiviti menarik.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah Universiti serta Pengurusan Tertinggi Universiti.