NasionalNegeriPendidikan

UniMAP bakal kembang program UniGO ke lima negara

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal mengembangkan program UniMAP Global Outreach (UniGO) ke lima negara lagi selepas kejayaan siri pertamanya di Malang, Indonesia.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, , sebanyak 12 mahasiswa dari enam fakulti UniMAP iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik serta Fakulti Perniagaan dan Komunikasi terlibat dalam program pertama di Malang dari 11 hingga 15 Januari lalu.

“Penglibatan mahasiswa UniMAP melalui program UniGO anjuran Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) UniMAP  ini dapat mengembangkan pengalaman mahasiswa di peringkat global sekaligus dapat mempromosikan universiti ini di persada antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Zaliman berkata, menerusi program ini juga membolehkan mahasiswa UniMAP menyumbang bakti dalam aktiviti kesukarelawanan, aktiviti penerapan elemen sains, teknologi, matematik serta inovasi, aktiviti silang budaya dan aktiviti motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah.

Katanya, program UniGO ini diketuai Pengarah P3P UniMAP Prof. Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh dan Dekan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK) Prof. Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Tambah beliau, dengan berkonsepkan aktiviti berkumpulan dibawah bimbingan Pegawai-pegawai P3P Mohd Hafiz Mohd Shokri dan Ahmad Mu’adz Nazari ini, mahasiswa UniMAP telah berkesempatan menganjurkan aktiviti kepada 120 pelajar sekolah rendah dan menengah iaitu Sekolah Dasar Surya Buana serta Sekolah Menengah Atas Surya Buana.

Sementara itu, Dr Mohd Arif berkata, dalam rangka program UniGO itu juga, mahasiswa UniMAP berkesempatan terlibat dalam lawatan serta seminar akademik ke kampus Universitas Negeri Malang dan Universitas Brawijaya.

Menurut beliau, selain penglibatan mahasiswa UniMAP sebagai peserta seminar, seramai tujuh orang pensyarah UniMAP juga telah dijemput dalam memberi perkongsian ilmiah dalam penyelidikan dan kepakaran masing-masing di seminar yang dianjurkan dua universiti berkenaan.

“Selain daripada itu, semasa program ini mahasiswa UniMAP turut berkesempatan mempromosikan peluang menyambung pengajian di UniMAP kepada pelajar-pelajar sekolah di Malang, Indonesia,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button