Agama

Umat Islam perlu sentiasa hormat, toleransi demi keharmonian

Ranong, Thailand – Umat Islam dituntut untuk menyayangi sesama umat, serta menghormati perbezaan yang ada antara kita. Hanya dengan saling memahami dan memberi ruang kepada perbezaan, kita dapat membina masyarakat yang lebih harmoni dan diberkati.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan MAIPs ketika berkenan berangkat menyantuni dan menyempurnakan Majlis Ramah Mesra MAIPs Bersama Masyarakat Ban Hinsyang di Masjid Al-Islafiah, Ban Hinsyang, Ranong, Thailand.

Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Imam Masjid berkenaan, Ali Abdul Latif yang mewakili masyarakat setempat.

Turut mengiringi Baginda berdua ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs Bagi Thailand, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan.

Tuanku Raja Muda menambah bahawa Kampung Baan Hinsyang yang dikunjungi kali ini amat istimewa kerana penduduknya tidak hanya kukuh dalam pegangan agama, tetapi juga sangat menghargai nilai-nilai kemanusiaan dan kebersamaan.

Baginda gembira melihat masyarakat di sini hidup dalam suasana yang penuh dengan rasa kekitaan, saling bantu-membantu, aman damai dan menjaga kebajikan antara satu sama lain. Semangat gotong-royong yang diamalkan di kalangan masyarakat di sini menjadikan kampung ini sebagai contoh teladan yang baik dalam membina komuniti yang kuat, mesra dan harmoni.

Majlis ramah mesra ini bertujuan untuk merapatkan ukhwah dan silaturahim antara penduduk kampung khususnya kepimpinan dan masyarakat setempat serta mengukuhkan lagi hubungan baik negeri Perlis dengan Wilayah Ranong.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs sebanyak RM 5000 kepada Masjid Al-Islafiah bagi kegunaan sebarang penganjuran aktiviti keagamaan dan penambahbaikan masjid tersebut.

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah pula berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada anak-anak yatim dan asnaf yang terpilih dan setiap mereka menerima wang tunai sebanyak RM150.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button