Luar Negara

Umat Islam perlu jadi contoh, walaupun jadi kelompok minoriti di sesebuah negara

RANONG, Thailand – Dalam komuniti yang minoriti penduduknya beragama Islam seperti di Ranong, amat penting untuk ditanamkan nilai-nilai murni di dalam generasi muda agar mereka dapat terus menjaga dan mempertahankan identiti Islam mereka dengan penuh kepercayaan dan kebanggaan.

Mereka perlu diberi pendedahan tentang betapa pentingnya berperanan sebagai contoh yang baik, bukan sahaja di kalangan umat Islam, tetapi juga kepada masyarakat bukan Islam di sekeliling mereka, agar Islam sentiasa dihormati dan dihargai.

Selain itu, sebagai umat Islam, kita juga diajar untuk sentiasa bersyukur dan menjaga hubungan baik dengan Allah SWT, sesama manusia, serta alam sekitar.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan MAIPs ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kampung Bann Huai Pling di Masjid Dakwatul Muslimin, Ranong Thailand.

Tambah Tuanku Raja Muda, program sebegini berperanan sebagai ‘jambatan’ dalam menjalin hubungan antara masyarakat Islam di Wilayah Ranong dan kami di Perlis dan Malaysia amnya. Selain mengeratkan ukhuwah Islamiah, kita juga dapat bertanya khabar, bertukar pandangan dan pengalaman, serta mempertingkatkan usaha kita dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera. InsyaAllah.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Yang DiPertua Majlis Agama Islam Wilayah Ranong, Madsa Madnam dan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Mohd Sarkawi.

Majlis ini dianjurkan bagi menyantuni masyarakat Islam di Kampung Bann Huai Pling khususnya anak yatim dan golongan asnaf yang memerlukan seterusnya mengukuhkan dan merapatkan lagi silaturahmi antara pemimpin tempatan dan masyarakat kampung seterusnya semangat persaudaraan Islam di sekitar kawasan tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs bernilai RM5000 kepada wakil masjid tersebut iaitu Syeikh Matsamanan Affan dan Baginda bersama-sama Tuanku Raja Puan Muda mengurniakam wang tunai daripada MAIPs bernilai RM150 kepada seramai 50 orang penerima yang terdiri daripada anak yatim dan juga asnaf terpilih.

Kampung ini menjadi tumpuan penduduk Muslim yang dianggarkan sebanyak 700 keluarga. Mereka aktif dan melaksanakan pelbagai program keagamaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button