Tuntutan Filipina: Senator DAP sifatkan kenyataan Hishammuddin menjijikkan
SENATOR DAP Liew Chin Tong mendakwa kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terhadap cadangan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal yang mahu kerajaan Persekutuan berunding dengan Filipina mengenai tuntutan negara itu terhadap Sabah, sebagai menjijikan.
Bekas Menteri Pertahanan itu mendakwa, Hishammuddin telah mengambil kesempatan terhadap isu tuntutan Filipina ketika Sabah berhadapan dengan pilihanraya.
Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menggesa Hishammuddin untuk meletakkan jawatan.
“Adalah amat menjijikkan bagi Hishammuddin bertindak oportunis untuk cuba menjadikan ini suatu isu demi menunjukkan dirinya tegas, sedangkan Shafie lembut terhadap Filipina.
“Hishammuddin telah membuat tuduhan-tuduhan palsu dan patut meletakkan jawatan kerana menggunakan dasar hal ehwal antarabangsa sebagai bahan kempen pilihan raya. Kita memerlukan pemimpin yang jujur serta matang,tidak bohong dan memutarbelit kata-kata.
“Dan adalah lebih bagi Malaysia untuk tidak mempunyai Menteri Luar yang mempergunakan isu antarabangsa, yang sepatutnya menjadi hal ehwal bipartisan, demi faedah politik segera. Tindakan Hishammuddin adalah sangat tidak bertanggungjawab,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.
Semalam Hishammuddin meluahkan rasa kecewa dengan cadangan Shafie yang mahu kerajaan Persekutuan berunding secara dengan Filipina mengenai tuntutan negara itu terhadap Sabah.
Hishammuddin berkata, beliau telah banyak kali menengaskan Kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana negeri itu milik Malaysia selama-lamanya.
“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie baru-baru ini mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Filipina.
“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan,” kata Hishammuddin.
Menurut Hishammuddin, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan Filipina terhadap Sabah. Justeru, menurutnya tidak ada sebab mengapa Malaysia perlu berunding dengan negara tersebut.
BACA Sabah: Adakah Shafie iktiraf tuntutan Filipina terhadap Sabah?
Tegas Hishammuddin, sekiranya Malaysia membuka ruang rundingan bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas.
“Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?
“Sebagai pemimpin Sabah, Shafie sepatutnya lebih tegas, bukannya cuba beri muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.
“Pendirian Kerajaan Malaysia tetap kukuh – tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah!” kata Hishammuddin.
Pada 28 Ogos lalu media melaporkan, Shafie yang merupakan Ketua Menteri Sabah ketika itu mahu kerajaan Persekutuan berunding secara ‘goverment to government’ terhadap tuntutan ke atas Sabah.
Shafie berkata, Filipina perlu diberi penjelasan mengenai referendum Suruhanjaya Cobbold pada 1963 yang menunjukkan rakyat Sabah memilih Malaysia.
“Jadi tidak timbul lagi tuntutan terhadap Sabah. Isu itu harus dipadam sama sekali,” katanya pada sidang media mengenai provokasi Filipina yang dikaitkan dengan tuntutannya ke atas Sabah.-SM