Tubuh Suruhanjaya Kajian Agensi Penguatkuasaan cegah rasuah – Ibrahim Ali
Isu daging tidak halal
PRESIDEN Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali mengesyorkan ditubuhkan satu Suruhanjaya Kajian Agensi Penguatkuasaan bagi mengemukakan cadangan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih tegas terhadap kakitangan di semua agensi penguakuasaan yang rasuah, cuai dan salah guna kuasa.
Beliau berkata, suruhanjaya itu juga berfungsi sebagai mata dan telinga dalam kalangan pegawai-pegawai Imegresen, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membenteras gejala rasuah di Malaysia.
Katanya, cadangan penubuhan suruhanjaya itu timbul selepas satu demi satu isu yang mengejutkan timbul sejak kebelakangan ini dengan merujuk kepada kartel daging haram.
“Sebenarnya isu daging yang tidak halal ibarat setitik air dalam lautan. Sebelum ini sudah banyak terdedah mengenai penipuan oleh pihak-pihak peniaga bukan Islam.
“Mereka menggunakan nama Melayu, lambang masjid, warna hijau, tulisan Jawi dan bermacam penipuan dilakukan.
“Mereka berani kerana penguatkuasaan yang penuh poket. Isu daging haram, dibungkus semula dan menggunakan logo halal JAKIM adalah bukti ketirisan yang berlaku akibat rasuah,” katanya.
Tambah Ibrahim, hidup dalam masyarakat majmuk dan kegiatan ekonomi terutamanya kilang pengeluaran dikuasai oleh orang bukan Islam maka sudah pasti umat Islam akan terjebak dengan makanan tidak halal.
Apatah lagi dengan ledakan “makanan segera” yang di tin kan, hanya panaskan sahaja, terus boleh dimakan, katanya.
Katanya lagi, lembu atau ayam yang tidak disembelih mengikut syariat Islam adalah haram dimakan oleh orang Islam.
“Ianya bukan setakat daging babi atau daging lembu yang bercampur aduk, haram dimakan malah yang tidak disembelih mengikut syariat Islam juga haram dimakan,” tegas Ibrahim.
Ibrahim berkata, selagi mana semua agensi yang bertanggungjawab tidak tegas dan kakitangan terdedah dengan rasuah, selagi itulah akan berlaku “tin kosong penuh berisi”. – SM