Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya terhadap rayuan bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak untuk mendengar kes titah adendum berhubung tahanan di rumah ke atasnya, biarpun memihak kepada beliau tetapi tidak menyebabkan pihak Kerajaan Madani dianggap kalah.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, biarpun dalam keputusan mahkamah ada pihak yang menang atau sebaliknya, namun Najib bukanlah menang secara total kerana beliau akan berdepan perbicaraan penuh substiantif Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagaimana diputuskan oleh hakim hakim Mahkamah Rayuan.
Namun yang jelas menang, kata Hassan yang juga seorang peguam, adalah institusi kehakiman yang bebas dan boleh membuat sebarang keputusan tanpa terikat kepada pemerintah.
“Jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman. Dengan keputusan 2-1 hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bahawa keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan boleh dicabar dan disemak di Mahkamah. Prinsip pemisahan kuasa berjalan dengan baik di Malaysia
“Dalam hal ini kredit atau pujian wajar diberi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berulang kali menjawab dan menjelaskan di dalam Parlimen atau di luar Parlimen bahawa kerajaan dan beliau khususnya sebagai Perdana Menteri, tidak boleh menggangu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim-hakim,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Hassan, oleh kerana Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong ke 16 maka PM Anwar Ibrahim bukanlah pihak yang terlibat secara langsung berkenaan keputusan Lembaga Pengampunan itu.
Maka apabila Najib tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan beberapa pihak lain dalam kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara berkait isu titah adendum, kata Hassan, beliau memfailkan Semakan Kehakiman di Mahkamah maka ia sudah menjadi kes mahkamah.