Jenayah

Tiga pembantu GISB didakwa hari ini, lakukan kes amang seksual

BERIKUTAN kes GISB, Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini

Mereka mempunyai tiga hingga enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di pusat jagaan itu sejak 2022 hingga 2023.

Menurut laporah BH, tertuduh, Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21 yang berdepan lima pertuduhan, manakala Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20, enam pertuduhan dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, tiga pertuduhan masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka melakukan amang seksual fizikal dengan sentuhan fizikal secara seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki yang tiga daripadanya adalah adik-beradik, berusia antara sembilan hingga 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan antara 2022 hingga 2023 di sebuah madrasah di Kuala Pilah.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.

Muhammad Habib Noh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan itu, dia didapati melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah membenarkannya, dia memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Keluarga tertuduh iaitu bapa dan abang masing-masing kemudiannya merayu jaminan minimum dikenakan kerana jumlah yang dicadangkan agak tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan.

Tertuduh juga diarahkan tidak mengganggu mangsa serta saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta boleh dihubungi bila-bila masa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Oktober depan bagi laporan perubatan dan lantikan peguam.

Terdahulu, mereka tiba di kompleks mahkamah pagi tadi dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah menaiki van polis sebelum dibawa ke lokap mahkamah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata, kertas siasatan asal Op Global di Negeri Sembilan dipecahkan kepada empat mengikut pembabitan suspek bagi memudahkan pertuduhan.

“Seorang suspek berusia 21 tahun akan didakwa dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) akta sama.

“Sementara dua lagi suspek berusia 20 dan 22 tahun masing-masing akan didakwa atas enam dan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) akta sama,” katanya semalam.

Untuk rekod Seksyen 14 Akta 792 merujuk amang seksual fizikal atas kanak-kanak, dengan Sekyen 14(a) membabitkan kesalahan menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak, manakala 14(b) membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang itu atau bahagian badan mana-mana orang lain.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button