Tiga pelajar cemerlang terima dermasiswa pendidikan Bank Rakyat
Seramai tiga pelajar cemerlang terpilih untuk menerima dermasiswa pendidikan Bank Rakyat yang secara keseluruhannya bernilai lebih RM55,000.
Mereka adalah Muhammad Syahril Saidi, Alia Maisarah Abdullah serta Khairunnisa Che Roslan dan dermasiswa pendidikan Bank Rakyat yang diterima ibarat ‘durian gugur’.
Salah seorang penerima, Muhammad Syahril Saidi mendoakan Bank Rakyat agar terus maju kerana menaja dirinya untuk melanjutkan pengajian.
“Saya terima keputusan 11A semasa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dalam program ini, saya terima RM12,000 untuk dermasiswa pendidikan Bank Rakyat.
“Secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana menaja saya untuk ke peringkat asasi bagi Pengajian Islam di Universiti Malaya,” katanya.
Mengulas tentang tawaran tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, ia inisiatif serampang dua mata dalam membantu mencipta akses pendidikan tinggi.
“Dermasiswa pendidikan Bank Rakyat membantu menjana pembangunan modal insan negara yang mampan yang mana pelajar berpotensi menjadi prospek sumber tenaga kerja mahir dan generasi pewaris kepemimpinan negara yang tinggi nilainya,” tambah beliau.
Bank Rakyat menyampaikan dermasiswa pendidikan Bank Rakyat berjumlah keseluruhan lebih RM55,000 kepada tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang kisah mereka tular pada Jun tahun
ini pada Majlis Penyerahan Suar Bestari di Menara Berkembar Bank Rakyat pada hari ini.
Antara pelajar cemerlang tersebut ialah Muhammad Syahril Saidi, Alia Maisarah Abdulla dan Khairunnisa Che Roslan.
Syahril menerima tawaran dermasiswa pendidikan Bank Rakyat berjumlah lebih RM12,000 dan beliau telah melanjutkan pelajarannya di Asasi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) selama satu tahun (dua semester) pada 22 Julai 2023.
Alia menerima tawaran dermasiswa pendidikan Bank Rakyat berjumlah RM21,500 bagi tempoh pendidikan selama lima tahun dalam pengkhususan Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah, aliran Sekolah Kebangsaan (SK) di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Khairunnisa turut menerima tawaran dermasiswa pendidikan Bank Rakyat berjumlah RM21,500 bagi tempoh pendidikan selama lima tahun dalam pengkhususan Bahasa Melayu Pendidikan Daerah, aliran Sekolah Kebangsaan (SK) di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, penawaran dermasiswa Bank Rakyat ini juga sebagai inisiatif serampang dua mata dalam membantu mencipta akses pendidikan tinggi kepada golongan yang memerlukan sekali gus membantu menjana pembangunan modal insan negara yang mampan yang mana pelajar berpotensi menjadi prospek sumber tenaga kerja mahir dan generasi pewaris kepemimpinan negara yang tinggi nilainya.
Menurut Dato’ Dr. Mohammad Hanis, majlis pada hari ini melambangkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam mengutamakan masyarakat yang memerlukan dengan penuh ihsan dan kasih sayang sejajar dengan konsep Malaysia Madani khususnya bagi memacu pembangunan modal insan dan ummah menerusi pendidikan.
“Secara peribadi, saya amat memuji kecekalan dan ketabahan anak-anak ini, walaupun diuji dengan pelbagai cabaran di usia muda di samping pemergian insan yang disayangi, namun tidak pernah mengalah untuk menimba ilmu pengetahuan demi mengubah nasib keluarga.
“Kegigihan mereka perlu dicontohi dan diteladani oleh semua yang mana secara tidak langsung mengingatkan kita bahawa pendidikan itu amat penting, malah Islam juga menekankan aspek pendidikan sehingga meletakkan golongan berilmu pada tempat yang amat istimewa selain dapat membantu manusia mencapai kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat kelak,” katanya. – SM
BACA Bank Rakyat komited perkasa usahawan asnaf menerusi Program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2023
BACA Keluhan berakhir, Bank Rakyat sediakan ATM untuk warga Air Kuning