Tiga hari bekalan air terputus, MB kata ia terkawal
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejadian gangguan air tidak berjadual yang berlaku di ini yang melibatkan pencemaran di loji penapisan air Semenyih masih berada dalam keadaan terkawal.
Beliau berkata, itu berdasarkan kepada jumlah gangguan air yang berlaku pada tahun ini sama dengan tahun-tahun sebelum ini.
Katanya, gangguan air yang berlaku itu tidak seburuk seperti yang disangka.
“Kejadian gangguan air ini sama seperti tahun-tahun sebelum ini, tetapi mungkin pada tahun ini ia diberi laporan meluas media tempatan, jadi ramai ingat kejadian gangguan pada tahun ini sebagai kerap.
“Walaupun jumlah gangguan ini sedikit, ia tidak bermakna kita boleh culas dalam mentadbir sumber air Selangor,” katanya ketika diminta mengulas penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih akibat pencemaran air semalam seperti yang dipetik dari Malaysia Gazette.
Amirudin, setakat pukul empat petang semalam bacaan pencemaran bau yang dicatatkan di Sungai Semenyih berada pada paras satu ton.
“Jumlah ini selamat untuk digunakan dan boleh disalurkan kepada pengguna, tetapi ia akan menimbulkan bau kurang selesa,” katanya.
“Pegawai kita sedang berusaha keras dari semalam untuk mengatasi masalah ini, dan saya harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya.
Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya kelmarin ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
Ia dipercayai berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium (IWK).
Penutupan loji itu menyebabkan 366 kawasan membabitkan 328,957 akuan pengguna di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.