Tiada tindakan, kenyataan Ahmad Faizal tidak seperti dilaporkan
KENYATAAN Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan DAP tidak seperti yang dilaporkan oleh pihak media kata Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Oleh itu kata beliau, tidak ada sebarang tindakan perlu diambil terhadap Ahmad Faizal.
Menurut Dr. Mahathir, Ahmad Faizal terpaksa menggunakan contoh kedudukannya di Perak untuk mempertahankan diri kerana dikelilingi oleh nelayan yang disifatkan Dr Mahathir sebagai agresif.
“Dia berhadapan dengan nelayan yang begitu agresif jadi mereka menganggap Pakatan Harapan ini dikuasai oleh DAP.
“Jadi dia terangkan walaupun dia seorang, ramai DAP di Perak tapi dia masih jadi Menteri Besar menguasai kerajaan, bukan bermakna kerana DAP menguasai kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Dr. Mahathir berkata, Ahmad Faizal memberi penerangan bahawa Pakatan Harapan tidak dikuasai okeh DAP semata-mata demi sokongan nelayan kepada Pakatan Harapan di Tanjung Piai.
“Orang ini ekstrem, kalau kita kata duduk di bawah DAP kalahlah (Pakatan Harapan), orang itu tak sokonglah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Perak menerusi video yang tular semasa membantu calon Pakatan Harapan berkempen.
Ahmad Faizal dipetik sebagai berkata bahawa dirinya keseorangan melawan puak-puak DAP di Perak.
Rentetan daripada video itu, DAP Perak dan Pemuda Sosiolis DAP Kebangsaan menuntut supaya Ahmad Faizal memohon maaf dan dihadapkan ke lembagai disiplin parti.