Hiburan

Tiada niat ubah lagu Legenda nyanyian Datuk Sheila Majid – MonoloQue

BUKAN semua lagu yang dinyanyikan semula mendapat maklum balas yang positif daripada pendengar.

Malah, ada yang mendapat kritikan hebat dan sehingga dituduh merosakkan melodi asal lagu yang dinyanyikan semula.

Terbaharu, penyanyi, MonoloQue juga tampil dengan sebuah lagu baharu yang sebelum ini dinyanyikan oleh Datuk Sheila Majid berjudul Legenda.

Menariknya, lagu ini telah digubah dan ditambakan dengan irama gamelan oleh Orkes Gamelang Pahang dan dinyanyikkan bersama Kimal daripada kumpulan Margasatwa.

Sungguhpun Legenda telah digubah 180 darjah oleh LoQue dengan unsur muzik baharu, namun saripati jiwa lagu tersebut, yakni irama asal, masih dikekalkan.

“Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal Legenda daripada Sheila Majid. Lagu Legenda versi asal semestinya tiada tandingannya.

“Saya cuma menyuntik unsur-unsur terkini dan mengubah mengikut citarasa kami seolah-olah lagu ini adalah lagu kami sendiri. Diharap versi kami ini akan menjadi petunjuk arah kepada versi asal Sheila Majid di samping menjadi rujukan masa hadapan terhadap evolusi bunyian Gamelan Melayu,” kata LoQue.

Menurut LoQue, lagu ini adalah belasungkawa tahap tertinggi kepada para legenda, baik yang dikenang dan yang tidak didendang sepanjang zaman.

Bagi LoQue, diberi peluang untuk memperbaharui lagu Legenda adalah satu penghormatan. Sewaktu menghasilkan lagu ini, LoQue telah menterjemah penghargaan terhadap para perwira, baik kecil, baik besar, baik yang dikenali, baik yang dilupakan dalam bentuk irama.

“Hari ini, dalam keadaan dunia yang dilanda pandemik, ramai wira tidak didendang yang harus dihargai.

“Bermula daripada para petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor, polis, askar dan tidak lupa juga para penghantar makanan, posmen, pekerja pembersihan, dan pekerja restoran.

“Semuanya adalah perwira yang berjasa besar kepada rakyat dan negara. “Di kala ‘perang halimunan’ ini, semuanya adalah legenda,” kata LoQue

Sementara itu, menurut Kimal pula, cabaran sewaktu mencipta Legenda versi baharu adalah untuk menarik minat masyarakat yang telah sebati dengan versi Sheila Majid

“Sebuah lagu malar segar yang berada di aras tinggi dalam industri bukanlah mudah untuk diperbaharui. Untuk membuat para pendengar menerima, apatah lagi,” katanya.

Menurut Kimal, dia juga telah menyuntik lebih kepekatan lenggok keMelayuan lalu menjadikan lagu ini berbeza dari versi sebelumnya. Kedengaran asing tetapi dekat di hati.

Legenda telah dirakam di Tunes Studios and Kilang Menjahit Bunyi di bawah pengelolaan LoQue and jurutera bunyi Hafiz Ahmad dan Aiyad Sakti. Rakaman vokal, penambahbaikkan Kimal, dan adunan terakhir telah dilakukan di Makmal Kampung Batu.

Dengarkan Legenda di laman digital Spotify, Apple Music, Deezer, dan Tidal.

Legenda juga boleh didengarkan di dalam album Lagu Perang(Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21) versi piring hitam dan cakera padat(deluxe).

Ikuti @monoloquerasmi di Instagram, Twitter, dan Facebook untuk melihat perkembangan dan kisah terkini. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button