Thailand catat sifar kes baharu COVID-19, tanpa kematian
THAILAND mencatatkan sifar kes baharu COVID-19 serta tiada kematian akibat wabak itu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kekal pada 3,125 kes dengan dan 58 kematian.
Ini adalah hari ke-17 tiada penularan tempatan di negara itu.
Pembantu Jurucakap Pusat Pentadbiran Keadaan COVID-19 (CSSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata setakat ini, seramai 2,987 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 80 pesakit masih dirawat di wad.
“Daripada 3,125 kes COVID-19 di negara ini, sebanyak 2,444 kes adalah penularan tempatan dan 681 kes import,” katanya dalam taklimat harian COVID-19, di sini hari ini.
Thailand memulakan fasa pertama pelonggaran bagi perniagaan dan venue pada 3 Mei. Kira-kira 95 peratus perniagaan dan tempat dijangka beroperasi semula di bawah fasa keempat pelonggaran pada 15 Jun ini.
Sekolah antarabangsa, pusat tuisyen, taman hiburan, taman permainan, pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas, serta fasiliti sukan terbuka dijangka dibuka semula.
Bagaimanapun, tempat-tempat berisiko tinggi termasuk pusat hiburan seperti pub, bar dan pusat karaoke serta ruang mandi-sauna-urut kekal ditutup.
Sementara itu, media tempatan melaporkan kerajaan Thai dijangka menarik balik perintah berkurung antara 11 malam hingga 3 pagi bermula 15 Jun.
Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat CCSA esok untuk memuktamadkan senarai perniagaan dan tempat yang dibenarkan kembali beroperasi. – BERNAMA