Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cerita minyak masak, PM yang pening
MASIH ramai yang tidak faham tentang penarikan subsidi minyak masak botol besar. Ada yang bernasib baik kerana bertanyakan kepada saya. Kalau ditanya kepada menteri kemungkinan mereka tidak mendapat jawapan yang jelas.
Kisahnya sejak azali memang hanya minyak masak di dalam paket sahaja disubsidi. Bagaimanapun ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 dan perintah berkurung dilaksanakan beberapa siri sejak tiga tahun lalu, minyak masak di dalam botol besar turut disubsidi.
Logiknya mengapa? Jawapannya mudah sahaja, ketika itu kita semua tidak dapat keluar kerap ke pasar raya untuk membeli keperluan harian. Jadi apabila keluar kita akan membeli dalam jumlah yang banyak. Sudah tentu minyak masak dalam botol besar. Takkanlah minyak masak dalam paket dibeli kerana setiap orang hanya dibenarkan membeli dua paket sahaja.
Bagaimanapun apabila tamat pandemik dan kini negara memasuki fasa endemik, maka subsidi itu dihentikan. Jadi tidak timbul kerajaan kejam menghentikan subsidi minyak masak.
Bahkan pada Jumaat lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengapungkan harga ayam dan juga tidak bersetuju dengan cadangan tarif elektrik serta air dinaikkan. Ini jelas menunjukkan kecaknaan Seri Ismail terhadap keresahan rakyat.
Respons segera yang diberikan Ismail Sabri itu, nyata menenangkan semula rakyat yang khuatir dengan kos sara hidup dijangka melambung bermula 1 Julai ini.
Dalam mesyuarat kabinet Ismail Sabri dengan tegas menolak cadangan tersebut, walaupun ayam bukanlah barangan kawalan di negara ini.
Bahkan harga ayam di negara ini adalah antara terendah di rantau ini serta di dunia. Justeru ia menjadi sumber protein yang mudah diperolehi oleh rakyat.
Langkah mengawal harga ayam diperhebatkan Ismail Sabri sebelum ini menerusi Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang diperkenalkan pada 9 Februari lalu.
Menerusi kawalan itu, kerajaan dilaporkan menyediakan subsidi harga ayam dan telur ayam sebanyak RM729.43 juta kepada penternak bagi mengelak kenaikan harga di pasaran.
Namun, subsidi yang dituntut daripada penternak hanya RM200 juta dan majoritinya terdiri daripada penternak kecil serta didapati wujudnya kartel yang mengawal harga.
Langkah kerajaan untuk mengawal harga itu tidak dapat menghasilkan impak seperti yang disasarkan disebabkan tindakan kartel penternak yang tidak membuat tuntutan subsidi.
Perbuatan itu jelas tidak membantu kerajaan untuk mengawal harga bekalan mentah tersebut hingga peniaga terpaksa menjual dengan tidak mengikut harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.
Sejak menerajui negara, Ismail Sabri dilihat telah berusaha menambah baik beberapa inisiatif yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) melibatkan subsidi dan bantuan untuk rakyat.
Pelbagai inisiatif yang pernah dilakukan BN sebelum ini terus diperbaiki dan dipertingkatkan oleh Ismail Sabri dengan mengambil kira kos sara hidup semasa rakyat yang kian meningkat.
Justeru bagi meringankan beban rakyat dalam berdepan kenaikan kos sara hidup, Ismail Sabri pada Rabu lalu turut mengumumkan tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 bagi kategori isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.
Tambahan bantuan tunai ini jelas dapat bantu rakyat dan saya yakin ia akan ditambah lagi pada masa akan datang mengikut keperluan rakyat berdasarkan kos sara hidup semasa. BKM ini adalah lanjutan daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan BN pada 2012.
Ismail Sabri juga menaikkan jumlah subsidi minyak masak peket kepada RM4 bilion sekarang berbanding hanya RM500 juta diperuntukkan pada tahun 2020.
Subsidi minyak peket itu merupakan inisiatif ketika zaman pentadbiran BN pada tahun 2007 dan ia diteruskan sehingga sekarang dengan penambahan peruntukan.