Telegram dapat lesen media sosial
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi memaklumkan permohonan Telegram untuk mendapatkan lesen sebagai penyedia perkhidmatan pesanan internet telah diluluskan pada Khamis lalu.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kelulusan itu menjadikan ia penyedia ketiga yang diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), selepas TikTok dan WeChat.
“Meta masih ada beberapa dokumen yang mereka dalam proses nak menghantar, tetapi kita jangkakan dalam masa terdekat akan selesai.
“Saya minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) walaupun perbincangan itu berterusan, namun tidak boleh dibenarkan pelanggaran dalam negara kita.
“Tindakan masih boleh diambil. Saya harap dapat diurus dalam masa terdekat dan oleh kerana Google sahaja sebenarnya yang masih belum (menghantar permohonan), jadi kita memberikan sedikit masa lagi untuk diuruskan perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) dengan Kerajaan Melaka, di sini hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menambah empat daripada enam penyedia perkhidmatan iaitu Tencent (WeChat); ByteDance (TikTok); Meta (Facebook, WhatsApp dan Instagram); serta Telegram tidak berdepan masalah dalam permohonan berkenaan.
“Bagi X, mereka mengesahkan jumlah yang ada akan mengambil sedikit masa, dan saya serahkan kepada MCMC untuk berbincang dan menguruskan.
“Manakala untuk Google, saya telah minta supaya MCMC meneruskan libat urus dan masa yang sama sekiranya kita dapati ada apa-apa perkara yang melanggar undang-undang seperti video scam ‘deep fake’, yang dimainkan dalam platform YouTube, tindakan-tindakan boleh diambil terhadap ketidakpatuhan atau pelanggaran undang-undang negara,” ujarnya lagi.
Awal bulan ini, syarikat induk platform media sosial TikTok, ByteDance dan Tencent bagi WeChat menjadi penyedia perkhidmatan pertama diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilapor berkata, kerajaan akan menutup operasi mana-mana penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di negara ini, yang didapati enggan patuh terhadap arahan memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan tindakan tegas itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan Kementerian Komunikasi menerusi MCMC sedang giat menjalankan Kajian Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang bertujuan membentuk rangka sistem pengalamatan yang berautoritatif, seragam dan bersepadu di peringkat kebangsaan.
Ujarnya, apabila siap sepenuhnya, NAS akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang autoritatif dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara, melalui kerjasama erat bersama pelbagai pihak berkepentingan. – SM